KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mengalami pergolakan dalaman apabila dikatakan wujud dua kem membabitkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dakwaan itu semakin ketara apabila Ahli Parlimen parti itu bagi Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melakukan serangan terbuka ke atas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit isu video intim yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.

(Ahli Parlimen Tasek Gelugor Pulau Pinang & Ahli Majilis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan)
Dakwaan Wan Saiful itu mendapat reaksi balas daripada Azmin yang menyifatkannya sebagai fitnah yang tidak munasabah.
Serangan terbuka Wan Saiful itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada kepimpinan Bersatu di peringkat negeri dan pusat termasuk desakan supaya beliau dipecat kerana didakwa bertindak melampau batas.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, kewujudan dua kem membabitkan Muhyiddin dan Hamzah sudah tidak boleh diselindung.
Bagaimanapun, kata beliau, pertembungan sebenar dalam Bersatu adalah antara Azmin yang dikaitkan sebagai ‘orang’ Muhyiddin dengan Hamzah.
Katanya, pertembungan tersebut dijangka berterusan sehinggalah salah seorang daripada mereka mengalah selain mendedahkan terdapat juga kem-kem kecil lain dalam Bersatu yang mula tercetus selepas ‘Langkah Sheraton’.
“Saya melihat, untuk memulihkan kembali Bersatu dengan menukar kepemimpinan (Presiden) dan memberi laluan kepada Hamzah seterusnya memberi nafas baharu kepada Bersatu. Lagipun, Hamzah dilihat lebih disenangi oleh Pas dan pimpinan muda di dalam Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Wan Saiful dilaporkan mendakwa, Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.
Biarpun sebelum ini mengakui menerima pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung ketika diumumkan Muhyiddin selaku Presiden, Wan Saiful berkata, situasi itu berubah selepas beliau menerima maklumat baharu, mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang di Sandakan, Sabah itu sebagai tulen.
Kata Wan Saiful, maklumat yang diterimanya itu membuatkan dirinya menjauhi Azmin dan menyebabkan hubungan beliau bersama Setiausaha Agung Bersatu itu dingin.
Azmin dalam reaksinya menafikan dakwaan tersebut dan menyifat pihak tersebut bergelumang dengan fitnah apabila sanggup membangkit semula tuduhan yang tidak munasabah itu.
Dakwa Hashim, kewujudan kem tersebut mula terserlah selepas Perdana Menteri kesembilan sebelum ini tidak dapat melantik Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu.
Selain itu, katanya, masalah dalam Bersatu berlaku apabila Muhyiddin membuka laluan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat untuk bersama Bersatu sekali gus memburukkan lagi keadaan dalam parti itu.
Manakala Azmin pula katanya, sehingga kini masih tidak dilihat sebagai tokoh Bersatu.
“Pada masa ini, masa depan Bersatu tidak sepatutnya untuk memenuhi impian individu untuk kembali lagi menjadi Perdana Menteri sebaliknya perlu memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih sesuai.
“Bersatu sekarang juga dilihat sudah hilang identiti daripada parti yang sepatutnya menjadi alternatif kepada pengundi. Namun, selepas langkah Sheraton, segalanya mula berubah. Nak ubah Bersatu, ubah semula kepemimpinan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan Wan Saiful membangkitkan isu kredibiliti Azmin sebagai permulaan kepada ‘perang politik’ dalaman parti tersebut.
“Wan Saiful dilihat sudah tidak ada pilihan dan jika Hamzah mampu bertahan, Wan Saiful mungkin selamat dan jika Muhyiddin-Azmin bertahan, karier politik Wan Saiful di dalam Bersatu dijangka berakhir,” katanya.
Sementara itu, Ketua Badan Pemimpin Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menggesa tindakan dikenakan terhadap Wan Saiful kerana didakwa telah menjejaskan imej parti.
“Kami menegaskan bahawa segala permasalah dan perbezaan pandangan dalam parti mesti diselesaikan secara berhemah melalui mesyuarat dan saluran rasmi parti.
“Membawa isu dalaman secara terbuka ke media hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Bersatu turut mendesak lembaga disiplin memcat Wan Saiful.
“Kenyataan tersebut jelas tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan usaha terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan komplot jahat mereka sendiri, termasuk percubaan menjatuhkan Presiden melalui gerakan akuan bersumpah (SD) yang nyata tidak mendapat sambutan,” katanya mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka turut menggesa perhatian diberi kepada siasatan terhadap Wan Saiful yang juga berdepan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.
Sumber – UTUSAN

















