PETALING JAYA: Bumiputera semakin tertinggal dalam persaingan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia apabila hanya dua buah syarikat yang berjaya disenaraikan dalam tempoh lima tahun.
Perkembangan itu menyaksikan sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diperkenalkan pada 1971 masih jauh daripada tercapai.
Pemilikan ekuiti korporat bumiputera kini dianggar sekitar 18 peratus, masih jauh daripada sasaran meskipun pelbagai dasar, program dan bantuan telah dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurut laporan, setakat 2022, hanya 62 syarikat dimiliki majoriti bumiputera yang tersenarai di Bursa Malaysia daripada kira-kira 945 syarikat tersenarai.
Pada masa kini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) memiliki hampir 10 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia dengan pegangan strategik dalam syarikat-syarikat terkemuka negara.
Namun, pemilikan ekuiti secara langsung oleh individu bumiputera masih terlalu rendah berbanding pegangan melalui institusi, sekali gus mencerminkan jurang ketara dalam penguasaan kekayaan korporat pada peringkat individu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, ketakutan terhadap pasaran modal serta mentaliti statik dalam kalangan usahawan bumiputera menjadi penghalang terbesar untuk mencapai sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti.
Jelasnya, keengganan mengambil risiko dan kurang keyakinan terhadap potensi pasaran modal menjadikan ramai usahawan lebih selesa kekal pada skala kecil, sekali gus mengekang peluang untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih kompetitif.
“Ramai usahawan bumiputera takut untuk senaraikan syarikat kerana tidak mahu melepaskan pegangan. Mereka tidak nampak nilai apabila pegangan saham dikecilkan.
“Padahal, walaupun pegangan hanya 30 peratus, nilai syarikat boleh meningkat berkali ganda. Ini lebih baik daripada memegang 100 peratus dalam syarikat kecil.
“Penyenaraian di Bursa memerlukan masa dan usaha. Syarikat bukan bumiputera mungkin mengambil masa tiga tahun, manakala syarikat bumiputera pula mungkin mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk benar-benar bersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, keterbatasan data dalam pengukuran ekuiti turut menyukarkan penentuan gambaran sebenar pemilikan Bumiputera sehingga menyulitkan usaha dalam merangka dasar yang lebih tepat.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, mekanisme pengumpulan data yang lebih telus dan menyeluruh perlu dibangunkan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pegangan ekuiti Bumiputera.
“Selama ini, pemilikan ekuiti banyak diukur berdasarkan data syarikat tersenarai di Bursa Malaysia kerana ia mudah diperoleh. Namun, majoriti perniagaan bumiputera beroperasi di luar pasaran saham dan data syarikat tidak tersenarai ini sukar dikenal pasti secara menyeluruh,” katanya.
Selain isu data, Abdul Rahman berkata, struktur ekonomi bumiputera yang masih bergantung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut menjadi kekangan utama dalam merealisasikan sasaran DEB.
Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan sumbangan individu bumiputera dalam pasaran modal kekal terbatas dan tidak seiring dengan aspirasi pemilikan 30 peratus ekuiti yang digariskan lebih lima dekad lalu.
“Nilai pemilikan ekuiti individu bumiputera kekal rendah walaupun jumlah PKS Bumiputera adalah tinggi.
“Kebanyakan mereka tertumpu dalam sektor seperti peruncitan, perkhidmatan dan pembinaan kecil yang secara relatif mempunyai margin keuntungan rendah dan skala pertumbuhan yang terhad,” katanya.
Sementara itu, pemikir ekonomi, Prof. Tan Sri Dr.
berkata, isu ekuiti bukan semata-mata kegagalan mencapai angka, sebaliknya berpunca daripada kelemahan dalam membina kapasiti dan daya saing bumiputera.
“Kalau kita beri sesuatu yang berharga kepada bumiputera tetapi mereka tidak dapat menilai, tidak tahu menggunakannya dan tidak mampu mentadbir, akhirnya ia akan dijual juga. Kita mungkin capai angka, tapi kosong dari segi impak,” katanya.
Beliau berkata, konsep 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan perlu menjadi teras utama dalam membina ekosistem ekonomi yang mampan.
Menurut beliau, hanya dengan menguasai ketiga-tiga aspek ini, agenda ekuiti Bumiputera dapat direalisasikan secara menyeluruh dan berkesan.
“Bumiputera perlu terlibat secara aktif dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai tinggi, bukan hanya dalam perniagaan berskala kecil yang margin keuntungannya terhad.
“Kejayaan sebenar hanya akan dicapai apabila bumiputera benar-benar menyertai ekonomi secara aktif, memiliki kekayaan dan aset secara sah serta menguasai keseluruhan rantaian ekonomi,” jelasnya.
Beliau berkata, mentaliti segelintir usahawan yang mahu “jalan mudah” menyebabkan banyak syarikat Bumiputera kekal rapuh kerana ramai masih selesa berada dalam zon selamat.
“Ramai fikir bumiputera sudah selesa. Tetapi realitinya, ramai yang sekadar cukup makan, bukan selesa. Ramai yang kelihatan berjaya ini sebenarnya bergantung pada satu-satu kontrak atau bantuan untuk terus bertahan.
“Selagi budaya ‘Ali Baba’, rent-seeking dan free riders tidak dibuang jauh, agenda pemilikan ekuiti Bumiputera hanya akan kekal sebagai slogan,” katanya.
Sumber – UTUSAN

















