KHAZANAH Nasional Bhd (Khazanah) merekodkan salah satu pelaburan paling berjaya dalam tempoh lebih sedekad selepas menjual sebahagian besar pegangan sahamnya dalam Farm Fresh Bhd.
Difahamkan, dana kekayaan negara itu memperoleh hampir RM900 juta sejak membuat pelaburan awal pada 2011, menjadikan ia antara pulangan tertinggi berbanding pelaburan langsung lain.
Khazanah secara rasmi bukan lagi pemegang saham utama Farm Fresh pada 4 September lalu, selepas menjual 65 juta saham melalui anak syarikat milik penuh, Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd.
Penjualan itu mengurangkan pegangan daripada 6.49 peratus kepada 3.02 peratus, hampir menamatkan perjalanan 14 tahun syarikat berkenaan bersama Farm Fresh.
Pada 2011, Khazanah membeli 30 peratus kepentingan dalam syarikat yang ketika itu dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn Bhd, dengan nilai antara RM18 juta hingga RM20 juta.
Langkah itu dilihat menyokong agenda keterjaminan makanan serta usaha mencapai sara diri dalam industri tenusu negara.
Farm Fresh disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2022, antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar tahun berkenaan, dengan kutipan hampir RM1 bilion pada harga terbitan RM1.35 sesaham.
Penyenaraian itu menilai syarikat tenusu berpusat di Johor berjumlah RM2.5 bilion. Kini, Farm Fresh memiliki nilai pasaran hampir RM4 bilion selepas harga sahamnya mencecah paras tertinggi RM2.10 minggu lalu.
Sejak penyenaraian, Khazanah secara berperingkat mengurangkan pegangan. Pada Jun lalu, ia menjual 42.5 juta saham, diikuti 55 juta saham pada Julai, sebelum transaksi 65 juta saham terbaharu.
Secara keseluruhan, Khazanah meraih antara RM730 juta hingga RM770 juta daripada penjualan mewakili kira-kira 27 peratus ekuiti Farm Fresh.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee sebelum ini pernah memaklumkan bahawa pelaburan Khazanah sejak awal memberi kelebihan besar kepada syarikat, termasuk akses kepada tanah serta kemudahan untuk memperluas operasi.
Berdasarkan senarai Forbes, Tuan Ee kini berada di kedudukan ke-46 individu terkaya di Malaysia dengan nilai bersih sekitar RM1.6 bilion.

















