PUTRAJAYA: Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini untuk semua warganegara tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Kaedah pembelian petrol RON95 pada harga subsidi itu akan dilaksanakan dengan menggunakan pengesahan MyKad di semua stesen minyak.
Maksudnya, pengguna hanya perlu mengemukakan MyKad ketika membuat urus niaga di kaunter stesen minyak, sebelum pengesahan dilakukan melalui terminal khas tersedia di stesen minyak bagi mendapatkan harga bersubsidi.
Tiada pendaftaran baharu diperlukan untuk menerima inisiatif ini, dengan rakyat tempatan layak membuat pembelian sehingga 300 liter RON95 sebulan, di mana 99% rakyat Malaysia layak menikmatinya.
Terdahulu, kerajaan telah menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter hanya untuk kegunaan rakyat tempatan bermula 30 September ini.
Bagaimanapun, untuk warga asing, mereka perlu membayar pada harga RM2.60 seliter bermula tarikh sama.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Jun tahun lalu.
Kaedah pembelian RON95 pada harga RM1.99
1. Urus niaga di kaunter stesen minyak:
● Hanya perlu sertakan MyKad untuk disahkan
● Pengsahan MyKad dibuat melalui terminal pembaca MyKad
2. Urus niaga di pam minyak:
● Pembelian seperti biasa guna kad debit/kredit
● Tambah pengesahan MyKad di terminal pam minyak
3. Urus niaga mengguna aplikasi stesen minyak:
● Pembayaran guna aplikasi seperti e-dompet TNG, Setel atau CaltexGo.
● Perlu pengesahan MyKad untuk sekali sahaja di aplikasi-aplikasi berkenaan
Pelaksanaan program BUDI95
Dijalankan secara berperingkat
● 27 September – dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis;
● 28 September dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40
● 30 September dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif
Yang tidak mempunyai lesen memandu aktif (tidak memperbaharui) selama 3 tahun, mereka tidak layak menerima inisiatif ini selagi tidak memperbaharui semula lesen memandu.
Tiada syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh kerajaan.

















