GEORGE TOWN, 20 Sept — Pulau Pinang menjadi negeri pertama memperkenalkan Skim Strata Kenderaan Terbengkalai, hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta bagi menangani isu lambakan di kawasan perumahan strata.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata skim itu menangani isu serius yang disebabkan oleh kenderaan terbiar, termasuk kekurangan tempat letak kereta yang mencetuskan kepayahan kepada penduduk, serta risiko kesihatan awam akibat pembiakan nyamuk Aedes dan potensi penggunaan jenayah.
Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan menghadapi kekangan dalam melupuskan kenderaan ini kerana terikat dengan prosedur undang-undang, kos dan masa.
“Justeru, inisiatif peringkat komuniti kerajaan negeri, melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang, boleh menjadi penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah lambakkan kenderaan terbengkalai di kawasan kediaman berkepadatan tinggi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Flat Turnkey Sri Pinang di sini hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Loke berkata MOT telah memperkenalkan sistem e-Batal Pendaftaran (e-Dereg), yang memudahkan pelupusan kenderaan dengan membenarkan pemilik membatalkan pendaftaran dalam talian dalam masa kurang lima minit, sekali gus menghapuskan keperluan beratur di Jabatan Pengangkutan Jalan.
Skim itu juga bekerjasama dengan CarMedic, sebuah syarikat rawatan dan pelupusan automotif yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar, untuk memastikan pelupusan kenderaan yang teratur dan mesra alam.
Pemilik tidak mengeluarkan sebarang kos malah akan menerima bayaran berdasarkan nilai kenderaan, manakala pihak berkuasa tempatan boleh mengurangkan beban operasi menunda dan menyimpan kenderaan terbiar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha yang dipelopori oleh Pulau Pinang dapat dijadikan model dan diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi menyelesaikan isu kenderaan terbengkalai demi persekitaran hidup yang lebih bersih, selesa dan selamat.
Terdahulu pada majlis itu, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancang Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye, menjadi orang pertama yang menggunakan kemudahan e-Dereg dengan menyerahkan kenderaannya secara rasmi untuk dilupuskan.
Sumber — Bernama

















