KUALA LUMPUR: Kira-kira 120 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menggesa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi yang mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, semua tandatangan telah dihantar kepada Muhyiddin pada minggu lalu.
“Saya sendiri telah menandatangani SD tersebut dan tujuan kami membuat SD itu bukan untuk menjatuhkan beliau, tetapi kami nak pertimbang semula apa Tan Sri sendiri sebut sebelum ini iaitu memberi ruang kepada pemimpin pelapis berpengalaman mengambil alih kepemimpinan mengikut proses demokrasi.
“Kami bimbang kepada beberapa perkara. Antaranya, kalau kita terus cabar Pas, mereka akan lari daripada kita. Pas boleh bergabung dengan UMNO pada bila-bila masa sebab UMNO cuma tidak mahu kerjasama dengan Bersatu sahaja.
“Adakah Bersatu boleh menang tanpa Pas? Kita dulu ada sejarah dah dapat 115 sokongan, tetapi bila dibawa ke istana, mereka tolak. Kita tidak mahu perkara sama berlaku sebab tidak mahu jadi pembangkang sampai bila-bila,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Muhyiddin dalam ucapan dasar Presiden Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu mengingatkan bahawa tindakan pihak mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya bercanggah dengan Perlembagaan parti.
Katanya, semua Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu boleh dijatuhkan melalui cara sama sekiranya Presiden dijatuhkan melalui senarai tandatangan.
Mohd. Isa berkata, Muhyiddin tidak perlu disisihkan sebaik sahaja melepaskan jawatan, sebaliknya boleh berperanan sebagai penasihat parti.
“Tiada niat langsung untuk kami sisihkan Presiden. Cuma kami sebagai Ketua Bahagian perlu memikirkan parti, dalam masa sama kita tidak mahu ada kaki bodek mempengaruhi setiap keputusan Tan Sri lakukan,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu menyedari tiada parti dominan mampu membentuk kerajaan dan ia memerlukan kerjasama.
“Pas sebenarnya boleh tinggal kita bila-bila masa. Malah lebih untung jika tidak bersama dengan kita. Bayangkan jika Pas bekerjasama dengan parti lain, mereka boleh bertanding dengan jumlah kerusi lebih banyak dan bertanding di kerusi Bersatu. Bukankah kita rugi?,” katanya.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu lebih layak memimpin Perikatan Nasional (PN) sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal calon Perdana Menteri.
Pas memiliki jumlah kerusi terbesar dalam PN iaitu 43 berbanding 31 Parlimen Bersatu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi kini tinggal 25 selepas enam wakil menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber – UTUSAN

















