spot_img
spot_img

Utusan : Sarawak diminta cermin diri isu royalti

spot_img

Seorang senator mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat bagaimana Petronas menggunakan lebih RM1 trilion keuntungan yang dijana daripada sumber minyak dan gas Sarawak sedangkan negeri itu terus mundur.

Senator Robert Lau dilaporkan media berkata, Sarawak mengorbankan sumbernya untuk pembangunan negara, tetapi kekal antara ekonomi paling perlahan berkembang di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan mendakwa walaupun syarikat minyak kebangsaan itu sering digelar ‘angsa emas’ walaupun angsa sebenar ialah Sarawak dan Petronas ‘sekadar mengumpul telur’.

- Advertisement -

Senator itu juga dilaporkan media berkata ketika Petronas untung besar dan memberikan sumbangan besar kepada kerajaan persekutuan, Sarawak hanya mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 0.9% setahun (dari 2016 hingga 2020).

Cadangan penubuhan RCI ini adalah seperti orang yang nampak pokok tapi gagal melihat hutan. Mungkin terlalu ba­nyak pokok ditebang sehingga tiada lagi hutan. Ahli politik bebas membuat kenyataan. Mereka bebas mempertahankan negeri, daerah, bandar atau hutan masing-masing. Tetapi dalam setiap perdebatan, seseorang harus bijak terutama apabila membincangkan isu nasional yang bukan hanya melibatkan lebih dua juta penduduk Sarawak tetapi rakyat Malaysia berjumlah 34 juta orang.

Untuk menubuhkan RCI untuk menyiasat bagaimana ia membelanjakan keuntungan yang diperoleh sejak 50 tahun lalu seperti meminta seseorang mengira pengorbanan seorang ibu kepada anaknya.

- Advertisement -

Adakah RCI dapat membelek setiap perbelanjaan, wang masuk, keluar, aliran tunai, pelaburan, dividen kepada kerajaan pusat, bantuan kepada orang miskin, biasiswa, gaji pekerja, pelaburan dan kehadiran di lebih 100 negara sehingga berapa banyak bil elektrik dipakai. Kekadang, kita harus menggunakan akal. Secara logik, RCI akan mengambil masa berdekad untuk melakukan audit setiap perbelanjaan Petronas.

Seperti biasa, kita sangat mudah menyalahkan pihak lain. Rakyat Sarawak harus melakukan audit atau RCI mengenai kekayaan yang dipunggah sejak era Rajah James Brooke dan berapa banyak ‘raja-raja kecil’ muncul dan menjadi kaya raya menggunakan hasil bumi Sarawak.

Berapa ramai jutawan dari Sarawak? Mungkin Bank Pusat dapat menggunakan maklumat deposit bank untuk mengetahui jumlah sebenar.

Perbandingan mudah, ada kira-kira 25 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang beribu pejabat dari Sarawak berbanding mungkin lima dari Sabah. Kita tidak perlu sembang syarikat tersenarai dari Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Perlukah diwujudkan RCI untuk meneliti bagaimana sebuah negara yang kaya dengan hutan, balak, tanah yang luas, ladang kelapa sawit dan sumber mineral kekal mundur?

Atau perlukan Perbendaharaan Malaysia menunjukkan kos gaji doktor, jururawat, guru, pensyarah, polis, tentera, pegawai imigresen, kastam, JPJ, bomba, dan semua lain yang dibayar pusat sejak Sarawak masuk ke Malaysia?.

Ketika Petronas-Petros dan Kuching berusaha menyelesaikan isu hak milik gas dan minyak, lebih baik semua pihak menutup mulut. Sebarang perbincangan tanpa ‘goodwill’ hanya akan berakhir dengan kegagalan.

Terdapat mereka yang berjuang lebih berat dan lebih berani setiap hari daripada memikirkan siapa dapat lebih dan siapa dapat kurang. Dalam isu gas Petronas-Petros, jika gagal diselesaikan, yang paling rugi adalah Malaysia. Rumput tidak tercabut ketika ribut tetapi mati kerana racun.

 

 

 

 

Pengarang – Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. UTUSAN

 

 

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img