spot_img
spot_img

Visa perluas peranan dalam pembayaran digital Malaysia

spot_img

KUALA LUMPUR: Visa Malaysia komited memperkukuh kedudukannya dalam landskap pembayaran digital negara melalui inovasi berterusan, kerjasama strategik serta fokus terhadap keselamatan dan kemudahan pengguna.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay berkata, pertumbuhan Visa di Malaysia dan Asia Tenggara akan dipacu menerusi pelaksanaan penyelesaian pembayaran baharu yang lebih lancar dan selamat, selain memperluas kerjasama kepada penyedia pembayaran bukan kad seperti dompet digital dan pembayaran kod QR.

“Kami melihat peluang besar dalam pembayaran komersial (B2B), yang mana saiz pasaran di Asia Tenggara dianggarkan bernilai AS$5.6 trilion, lima kali ganda daripada pasaran pembayaran pengguna.

- Advertisement -

“Visa akan terus membantu perniagaan, daripada perusahaan kecil hingga syarikat besar, memanfaatkan transaksi digital dan peralihan ke arah ekonomi tanpa tunai,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Tambah beliau, pelbagai inisiatif Visa di Malaysia diselaraskan dengan aspirasi kerajaan dalam membina masyarakat tanpa tunai dan menjadikan Malaysia hab inovasi serantau.

Menurut Previn, Malaysia bersama Singapura dan Kemboja kini antara pasaran tertinggi penggunaan pembayaran tanpa sentuh (contactless) di Asia Tenggara, dengan sembilan daripada 10 transaksi Visa di negara ini dilakukan melalui kaedah tersebut.

- Advertisement -

“Sejak beberapa tahun lalu, kami bekerjasama dengan rakan perolehan dan peniaga untuk memperluas penerimaan pembayaran tanpa sentuh, termasuk untuk pengangkutan awam seperti KLIA Ekspres, tol lebuh raya, stesen minyak, pengecas kenderaan eektrik (EV) serta pasar raya dan restoran,” ujarnya.

Beliau berkata, penerimaan pembayaran tanpa sentuh juga disokong kerjasama dengan penyedia mudah alih seperti Apple, Samsung dan Google untuk membolehkan penggunaan telefon pintar dalam pembayaran, sejajar kadar penembusan peranti melebihi 90 peratus dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai aspek keselamatan, Previn menjelaskan bahawa Visa melaksanakan sistem tokenisasi menerusi Visa Token Service (VTS), di mana data kad digantikan dengan token unik yang tidak boleh digunakan oleh penjenayah walaupun berlaku kebocoran data.

“Kami telah mengeluarkan lebih satu bilion token di rantau ini pada tahun lalu. Peniaga yang menggunakan VTS mencatatkan pengurangan penipuan pembayaran sebanyak 58 peratus,” katanya.

Tambahnya, teknologi ini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan tetapi juga membuka ruang kepada inovasi baharu termasuk era perdagangan berasaskan AI (agentic commerce).

“Bagi memastikan Visa kekal berdaya saing, syarikat terus memupuk kerjasama dengan institusi kewangan tradisional, syarikat fintech, perniagaan komersial serta kerajaan.

“Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan AEON untuk melancarkan bank digital Islam pertama di Malaysia yang turut menawarkan kad debit, memberi akses kepada segmen pengguna yang mencari perbankan patuh syariah,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Visa turut melabur lebih AS$3.3 bilion dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan data sejak sedekad lalu dan telah memperkenalkan tiga penyelesaian baharu tahun lalu di bawah rangkaian Visa Protect, yang berjaya menghalang penipuan bernilai AS$40 bilion pada tahun kewangan 2023.

“Pengesahan pembayaran melalui identiti digital seperti pengecaman wajah dan cap jari akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan tanpa menjejaskan kemudahan pengguna,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan kepada sistem pembayaran rentas sempadan yang pantas dan selamat, seperti Visa Direct yang menyokong transaksi masa nyata ke lebih tujuh bilion titik akhir termasuk kad, akaun dan dompet digital.

 

 

Sumber – UTUSAN

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img