KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan kepada para menyeru graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memanfaatkan kemahiran mereka untuk menjadi usahawan dan bukannya bergantung kepada pekerjaan makan gaji semata-mata.
Ahmad Maslan berkata graduan TVET memiliki kemahiran dan kepakaran yang boleh membuka peluang keusahawanan merentasi pelbagai sektor.
“Kita tidak mahu graduan TVET hanya bekerja di syarikat swasta, walaupun gaji tinggi. Pada mulanya, mereka mungkin pekerja, tetapi matlamatnya adalah untuk mereka akhirnya memulakan perniagaan sendiri,” katanya sambil memetik bidang berkaitan elektrik sebagai contoh potensi keusahawanan.
Beliau mengalu-alukan pembiayaan tambahan RM40 juta baru-baru ini untuk Majlis TVET Kebangsaan dan RM10 juta untuk Melaka yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan ia sebagai rangsangan penting untuk pembangunan keusahawanan TVET.
Ahmad Maslan memberi jaminan bahawa Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia akan menggunakan sepenuhnya dana tersebut, termasuk mempertingkatkan kurikulum keusahawanan di institusi seperti Akademi Pembinaan Malaysia (ABM), yang berada di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), untuk melahirkan ‘usahawan tekno’.