KUANTAN: Kerajaan Pahang memutuskan pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh di negeri ini selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan itu dicapai selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) semalam.
Beliau berkata, fatwa berkenaan telah disampaikan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Pahang pada 3 Mac lalu dan dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada 14 Mei.
“Fatwa ini turut mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang telah beberapa kali bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk penggunaan vape,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Menurut Syed Ibrahim, pihak berkuasa tempatan disaran melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan berhikmah agar masyarakat memahami bahaya penggunaan vape.
“Kita faham peniaga mungkin berdepan kekangan, jadi mereka boleh mulakan langkah secara beransur-ansur seperti tidak lagi mengambil bekalan vape.
“Pengguna pula digalakkan untuk berikhtiar meninggalkan tabiat ini dengan bantuan doa kepada Allah SWT,” katanya.
Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama, manakala Perlis dijadual mengikuti perkara sama pada 1 Ogos ini.
Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total, susulan kebimbangan baginda terhadap peningkatan penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sebanyak tujuh kertas cadangan turut dibentangkan untuk diangkat ke Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK), termasuk berkaitan usaha pemutihan status penduduk Kedah-Burma yang kini menetap di negeri ini.
“Golongan ini merupakan keturunan asal Kedah yang berpindah ke Burma dan kembali ke negara ini akibat penindasan perkauman. Mereka kini menetap di Pahang melibatkan kira-kira 1,000 individu daripada 300 keluarga,” katanya.
Sumber – UTUSAN