DALAM era ekonomi digital yang semakin pesat, negara-negara Asia Tenggara telah mula menonjol sebagai pusat baharu inovasi dan keusahawanan.
Negara seperti Indonesia dan Singapura telah melahirkan beberapa unicorn, syarikat pemula yang dinilai melebihi AS$1 bilion (RM4.23 bilion) hasil ekosistem pelaburan yang progresif dan dasar yang menyokong inovasi agresif.
Indonesia, misalnya, telah melahirkan beberapa unicorn terkenal seperti Gojek, Tokopedia dan Traveloka, manakala Singapura pula menjadi hab teknologi dengan unicorn seperti Grab, Sea Group dan Carro, hasil daripada sokongan ekosistem yang tersusun, akses kepada pelaburan asing dan bakat global.
Namun, di sebalik potensi besar dan bakat tempatan yang tidak kurang hebatnya, Malaysia masih ketinggalan dalam perlumbaan melahirkan startup bernilai tinggi.
Persoalannya, mengapa Malaysia masih belum mampu menyaingi kejayaan jiran serantau?
Apakah halangan utama yang menghambat pertumbuhan syarikat pemula di negara ini sama ada dari segi akses kepada pembiayaan, dasar kerajaan, infrastruktur digital atau budaya risiko?
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara cabaran utama syarikat pemula adalah kekurangan pembiayaan, kesukaran mendapatkan pelabur awal tempatan dan halangan pengaturcaraan serta kawal selia.
Selain itu, beliau berkata, negara juga menghadapi kekurangan bakat kemahiran dan amat memerlukan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih mantap bagi mewujudkan ekosistem untuk menyokong syarikat pemula.
“Walaupun terdapatnya sejumlah besar modal teroka (VC) dan pelabur institusi, syarikat pemula di peringkat awal tetap bergelut untuk mendapatkan pembiayaan tempatan.
“Ramai pelabur di Malaysia masih teragak-agak untuk melabur dalam syarikat peringkat awal yang berisiko tinggi.
“Jadi pembiayaan terhad ini bermakna syarikat pemula menghadapi persaingan sengit untuk mendapatkan pelaburan yang dimahukan,” katanya semasa ditemubual Utusan Malaysia.
Aimi Zulhazmi berkata, pewujudan syarikat pemula ini banyak ketergantungannya kepada ekosistem yang dipengaruhi oleh program dan inisiatif kerajaan, kesannya adalah ia boleh memesongkan dinamik pasaran dan menghalang pertumbuhan yang mampan.
Beliau berkata, negara memerlukan dasar dan peraturan yang jelas dan mampan untuk menyokong ekosistem syarikat permula.
“Jadi kerumitan kawal selia boleh menghalang syarikat pemula daripada mencari pelabur atau meningkatkan operasi mereka.
“Ini mungkin kerana ekosistem di Malaysia mempunyai terlalu banyak kementerian, agensi, program, geran, insentif dan sebagainya yang menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai potensi untuk Malaysia melahirkan lebih banyak syarikat pemula berstatus unicorn, beliau berkata, Malaysia amat berpotensi untuk melahirkan banyak syarikat pemula.
Jelasnya, kerajaan mahu rakyat mempunyai mentaliti penciptaan terutama melalui kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditekankan oleh kerajaan.
“Untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kita perlu mempunyai budaya rekacipta untuk menambah baik barangan dan perkhidmatan keluaran negara.
“Kita boleh mencontohi negara-negara yang amat menitik beratkan penyelidikan dan pembangunan seperti Jerman, China dan Korea Selatan. Mereka membelanjakan tidak kurang dari lima peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negaranya untuk disalurkan kepada penyelidikan dan pembangunan.
“Justeru penemuan baharu melalui teknologi berjaya melonjakkan negara Korea Selatan dan China ke taraf sekarang ini,” katanya.
Tambahnya, ramai rakyat Malaysia yang pintar dan berkebolehan dan ini dibuktikan dengan pelbagai anugerah, medal yang dimenangi di peringkat dunia termasuk di peringkat sekolah dan universiti.
“Tetapi apa yang terjadi dengan ciptaan tersebut, hanya menjadi memori simpanan di setor institusi sahaja tanpa ada aspek pengkomersialan atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) selanjutnya,” jelasnya.
Bercakap mengenai risiko pelaburan dalam syarikat pemula teknologi berbanding sektor tradisional, beliau berkata, syarikat pemula teknologi lebih mudah mendapat modal pelaburan walaupun berisiko lebih tinggi, didorong oleh aspek rekod industri teknologi maklumat (IT) itu lebih menyerlah.

















