spot_img

Perumahan yang baik untuk orang Melayu di Kuala Lumpur

spot_img

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan orang Melayu kekal tinggal di Kuala Lumpur.

Itu tegas Perdana Menteri, Da­tuk Seri Anwar Ibrahim sambil berkata, tidak wujud sebarang usaha untuk mengusir orang Melayu daripada ibu negara seperti sentimen yang dimainkan pihak tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan berusaha membantu dan memperbaiki kehidupan orang Melayu di ibu kota de­ngan memberikan keselesaan terutama tempat tinggal.

- Advertisement -

Katanya, beliau sebagai Perdana Menteri tidak akan bangga dengan Kuala Lumpur sekiranya hanya dipenuhi dengan gedung-gedung besar.

Sebaliknya, tegas Anwar, be­liau akan berbangga sekiranya majoriti rakyat di ibu negara memperoleh kediaman yang selesa dan mendapat peluang untuk makan dengan kadar harga lebih murah.

“Ini baru memaknai Madani, saya tidak mahu Madani itu (ha­nya) menjadi slogan lunak tetapi tidak (meninggalkan) bekas. Jadi jika tanya saya tentang nilai pres­tasi bandar raya Kuala Lumpur, saya lihat ini dahulu, apakah faedah langsung kepada rakyat.

- Advertisement -

“Maka sebab itu KPKT (Kementerian Perumahan dan Ke­ra­jaan Tempatan) mengusulkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) (hingga) menimbulkan kontroversi yang saya kurang mengerti, mengapa ha­rus dibantah?

“Orang yang biasa di Kuala Lumpur, bukan sahaja di hotel-hotel bintang lima dan tujuh tetapi dengan kawasan perumahan rakyat akan tahu bahawa sebahagian besar rakyat kita duduk dalam rumah yang sangat rosak, sederhana dan ada di flat yang sudah berusia 50 tahun,” katanya dalam Majlis Peluncuran Kreatif Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini.

Sehubungan itu, Anwar membidas dakwaan musuh politiknya yang mengatakan kerajaan cuba untuk mengusir orang Melayu daripada ibu negara.

“Ia dijadikan bahan politik, caci-mencaci, (dakwa ia) merampas tanah (orang) Melayu (dan ia merupakan) agenda Cina. Saya tidak mengerti politik seperti ini, kerana status tanah tidak berubah.

“Apakah itu Tanah Rizab Melayu? Kekal, apakah tanah itu MAS (Penempatan Pertanian Melayu)? (juga) kekal tetapi kalaulah flat seperti flat Seri Perlis yang pada saya paling ‘melemaskan’ dan saya tidak bangga sebagai Perdana Menteri sekiranya tidak dapat melakukan apa-apa untuk bangunkan semula flat tersebut.

“Ia dibangunkan pada 1961, ya ada baiknya (kerana) pada keadaan tersebut, itulah upaya negara ketika itu. Kemudian, sekarang, 2025 (masih) satu bilik dan satu tandas. Anak enam dan kadang lebih, hidup dalam keadaan sesak (serta) tiada kemudahan-kemudahan asas dibawah.

“Sebab itu kita kena pinda untuk menjamin mereka mendapat rumah baru di tempat yang sama atau lebih kurang kawasan sekitar dengan minima tiga bilik dan dua tandas,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah sementara yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan selesa.

“Sebaik sahaja kita luluskan, kita harus ambil tindakan yang segera. Melewatkan pelaksanaan (selama) tiga bulan bermakna keluarga itu akan sengsara tiga bulan. Bayangkan kalau kita di situ dan rumah tidak siap.

“Kalau ada pegawai-pegawai yang terlibat (dalam proses penangguhan), saya nak hantar pegawai itu hidup di rumah sementara itu, baru dia tahu bagaimana sengsara dan seksanya orang yang terpaksa menunggu,” tegasnya.

Terdahulu, Anwar dalam majlis yang sama juga mahukan ibu negara tidak hanya dikenali dengan bangunan ‘pencakar langit’ dan berteknologi tinggi sebaliknya juga sebagai sebuah kota yang terus mempertahankan sejarah, budaya dan warisan negara.

Sehubungan itu, katanya, Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani menekankan aspek warisan dan kepelbagaian Malaysia supaya ia menjadi identiti dan memaparkan keunikan Kuala Lumpur.

“Satu kota itu harus hidup segar dengan fizikal yang menarik dan menawan, sesuai dengan perkembangan teknologi tetapi ia juga harus mengakar kepada tradisi dan budaya.

“Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit, teknologi baharu digital, kecerdasan buatan (AI), bicara mengenai transisi tenaga harus dan wajib kita segerakan tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi, ertinya faham sejarah, budaya dan nilai akhlak,” katanya.

 

Sumber – UTUSAN

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img