PETALING JAYA: Sehingga 50,000 orang mungkin akan kehilangan pekerjaan di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang kerana tarif 24% yang akan dikenakan ke atas barangan Malaysia yang dieksport ke AS, kata sebuah persatuan perniagaan.
Sektor industri utama yang berisiko termasuk elektronik, sarung tangan dan alat ganti automotif, di mana pengeluaran berkaitan eksport boleh merosot dengan ketara, menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana, kata Christina Tee, presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia.
“Tarif 24% ini akan memberi impak yang luas, bukan sahaja kepada pembuatan dan perkhidmatan elektronik, tetapi juga kepada minyak sawit, peranti perubatan, alat ganti automotif, tekstil dan banyak lagi,” katanya, menurut Berita Harian.
“Dengan lebih 65% daripada keluaran dalam negara kasar kita berkait dengan perdagangan, ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada kejutan seperti itu,” katanya.
Tee berkata risiko tarif menjadikan eksport Malaysia tidak kompetitif di AS, memaksa perniagaan menilai semula kontrak, menstruktur semula operasi atau memindahkan pengeluaran ke luar negara.
Beliau berkata Malaysia tidak boleh kekal pasif, manakala ekonomi serantau lain giat mencari pengecualian atau pelepasan. Putrajaya perlu bertindak pantas untuk melindungi industri, pekerjaan dan daya saing global.
Beliau juga menggesa penubuhan majlis pengurangan tarif, yang dipengerusikan bersama oleh kementerian pelaburan, perdagangan dan industri, dengan dewan perniagaannya untuk mengetuai penyelarasan di peringkat nasional.
Beliau juga mencadangkan pembentukan kumpulan kerja dua hala di bawah perjanjian perdagangan dan pelaburan Malaysia-AS dan penyediaan akses kepada perkhidmatan nasihat teknikal untuk pengeksport yang terjejas.