GAZA: Ratusan penduduk Palestin turun ke jalanan di utara Gaza bagi mengadakan demonstrasi menentang Hamas serta menuntut agar perang dengan Israel dihentikan segera, yang disifatkan sebagai protes terbesar terhadap kumpulan tersebut sejak serangan 7 Oktober lalu.
Rakaman video dan gambar yang tular di media sosial lewat malam semalam menunjukkan sekumpulan besar penunjuk perasaan, kebanyakannya lelaki, berkumpul di Beit Lahia sambil melaungkan slogan ‘Hamas keluar’ dan ‘Hamas pengganas’.
Protes itu berlangsung di hadapan Hospital Indonesia di bahagian utara Gaza, hanya seminggu selepas tentera Israel meneruskan kembali serangan bom secara besar-besaran setelah hampir dua bulan gencatan senjata.
Sebahagian penunjuk perasaan turut mengangkat sepanduk dengan tulisan seperti ‘Hentikan perang’ dan ‘Kami mahu hidup aman’, manakala sekurang-kurangnya satu seruan untuk menyertai demonstrasi itu dikesan tular di aplikasi Telegram.
“Saya tidak tahu siapa yang menganjurkan tunjuk perasaan ini, saya hanya mahu menyampaikan mesej bagi pihak rakyat: Cukuplah perang ini,” kata seorang lelaki kepada AFP.
Beberapa penduduk Gaza percaya demonstrasi itu boleh merebak ke kawasan lain di wilayah yang musnah akibat peperangan, dengan rakyatnya semakin letih dan trauma selepas hampir setahun setengah hidup dalam konflik.
Gaza kini berada dalam keadaan yang semakin genting selepas lebih 17 bulan dibelenggu peperangan dengan keadaan kemanusiaan bertambah buruk sejak Israel menyekat kemasukan bantuan ke wilayah itu pada 2 Mac lalu bagi menekan Hamas supaya membebaskan tebusan.
Dalam tempoh tersebut, sekurang-kurangnya 792 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak Israel menyambung semula serangan ketenteraan mereka, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Konflik ini tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang menyebabkan 1,218 kematian di pihak Israel, kebanyakannya orang awam, menurut perangkaan AFP berdasarkan data rasmi.
Sebagai tindak balas, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 50,021 nyawa rakyat Palestin, yang majoritinya terdiri daripada orang awam.