spot_img

Pelancongan Domestik Negara Catat RM107.2 bilion

spot_img

PETALING JAYA: Pelancongan domestik negara mencatat prestasi terbaik pada 2024 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM107.2 bilion, termasuk RM29 bilion pada suku terakhir, menurut Jabatan Perangkaan.

Sektor pelancongan domestik Malaysia mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan pada suku keempat 2024, dengan 66.8 juta pelawat, mencerminkan peningkatan ketara tahun ke tahun sebanyak 21.4 peratus.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, bilangan pelawat domestik menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus.

- Advertisement -

Perbelanjaan pelancongan domestik turut melonjak sebanyak 21.9 peratus, berjumlah RM29 bilion dalam tempoh yang sama, manakala perbelanjaan pelancongan suku tahun ke suku tahun mencatatkan peningkatan ketara 13.4 peratus, sekali gus menekankan pertumbuhan teguh sektor itu.

Mengulas prestasi itu, Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi kukuh itu menjadikan jumlah pelawat pada tahun tersebut kepada 260.1 juta, dengan peningkatan sebanyak 21.7 peratus berbanding 2023.

Katanya, selaras dengan peningkatan jumlah pelawat, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM107.2 bilion, mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh, iaitu sebanyak 26.3 peratus.

- Advertisement -

“Pertumbuhan dalam pelancongan domestik juga dicerminkan dalam prestasi industri berkaitan pelancongan.

“Hasil daripada aktiviti zoo menyaksikan peningkatan sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun, menonjolkan daya tarikan terhadap hidupan liar.

“Jualan runcit bahan api turut meningkat sebanyak 6.7 peratus, sejajar dengan aktiviti perjalanan domestik yang lebih tinggi, manakala ketibaan di lapangan terbang domestik meningkat sebanyak 6.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, volum trafik lebuh raya meningkat sebanyak 3.8 peratus, menandakan tahap mobiliti yang lebih tinggi dalam negara.

“Perkembangan ini disokong oleh peningkatan ketara 14.1 peratus dalam hasil subsektor penginapan, yang menunjukkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan perjalanan domestik,” ujarnya.

Pertumbuhan pelancongan domestik Malaysia dijangka akan berkembang, didorong oleh keyakinan pengguna yang berterusan, permintaan perjalanan yang tinggi dan sambutan musim perayaan akan datang.

Memandangkan sektor ini akan terus berkembang, sumbangan pelancongan kepada pembangunan ekonomi Malaysia kekal kritikal, mengukuhkan kedudukan pelancongan domestik sebagai asas kepada strategi ekonomi negara yang lebih luas.

Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025: DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.

 

 

Sumber – UTUSAN

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img