Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan kekecewaan peniaga-peniaga bazar Aidilfitri sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit dan Masjid India di ibu negara yang kecewa apabila barangan jualan mereka tidak laku walaupun ribuan pengunjung ke lokasi itu.
Keluhan sama diterima daripada peniaga-peniaga di beberapa buah negeri. Hasil tinjauan mendapati bazar Aidilfitri di sana suram tidak seperti suasana lima atau 10 tahun dahulu. Dikatakan antara faktornya orang ramai lebih memilih berbelanja secara dalam talian daripada membeli di bazar Aidilfitri.
Dilaporkan juga, kewujudan platform e-dagang yang menawarkan harga murah menyaksikan premis kedai fizikal sudah tiada lagi pengunjung meskipun pada hujung minggu.
Dalam era digital, itulah realitinya masa kini namun persoalan adakah peniaga-peniaga yang terjejas ini tidak menyedari ledakan trend pembelian dalam talian ini? Ia bukanlah perkara baharu malah peralihan kaedah berbelanja oleh pengguna ini jelas dilihat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.
Adakah peniaga-peniaga yang terjejas ini juga tidak sedar bahawa untuk membeli sebuah kereta ketika ini juga sudah tidak memerlukan pembeli ke premis pameran dan jualan kenderaan tersebut.
Cukup sekadar berhubung dengan wakil jualan dan mengisi serta menyediakan beberapa dokumen.
Jika sehingga begitu mudah, apatah lagi untuk orang ramai untuk membeli apa sahaja barangan lain yang bernilai lebih kecil termasuk baju kurung dan baju Melayu sempena Aidilfitri nanti. Semua kini hanya dihujung jari orang ramai sahaja, lebih mudah malah menjimatkan banyak masa.
Perniagaan dalam talian atau online ini bukan lagi trend malah merupakan keperluan dalam dunia perniagaan moden. Ia tidak boleh lagi dilihat atau dianggap sebagai cabaran yang merunsingkan peniaga tetapi sebenarnya peluang besar untuk mencapai pasaran lebih luas.
Sudah ramai peniaga atau usahawan yang bijak mengambil peluang ini malah kini lebih terkehadapan dengan beralih pula kaedah jualan secara livestream ataupun secara langsung di platform-platform e-dagang malah di media sosial.
Ia bertepatan dengan konsep Law of Averages dalam bidang pemasaran dan perniagaan iaitu semakin banyak prospek yang ditemui atau didekati semakin tinggi peluang kemungkinan peniaga mendapat pelanggan untuk membeli.
Pempengaruh dan juga usahawan, Khairul Aming juga mengakui, 70 peratus daripada nilai jualan produknya pada tahun lalu yang mencecah RM42 juta adalah datang daripada jualan menerusi livestream ini.
Melihat kepada berkesannya kaedah livestream dalam meningkatkan jualan dan menarik pelanggan, pengusaha perniagaan juga dilihat tidak ragu-ragu untuk menggajikan pekerja untuk tujuan itu.
Penjual makanan seperti nasi lemak di tepi-tepi jalan juga sudah banyak menggunakan kaedah ini, mereka menjual sambil berterusan melakukan promosi. Produk yang dipromosikan dan dijual secara langsung ini mengurangkan keraguan pembeli dan meningkatkan kepercayaan mereka termasuk kepada penjual.
Perkara-perkara ini yang mungkin tidak disedari peniaga-peniaga yang mendakwa terjejas, jika mereka berterusan dengan kaedah lama iaitu menunggu pelanggan datang ke kedai , mereka akan ketinggalan dan tidak dapat bersaing dalam persekitaran perniagaan serba pantas.
Persoalan sama ada kedai-kedai fizikal ini akan lenyap atau mati dek kerana jualan online hanya boleh dijawab oleh peniaga itu sendiri.
Masih banyak kedai-kedai fizikal yang masih bertahan malah makin maju kerana mengambil strategi perniagaan yang menggabungkan pelbagai saluran jualan dan pemasaran.
Kedai fizikal, laman web, media sosial, aplikasi mudah alih, semuanya digunakan. Lihatlah deretan butik-butik pakaian hari raya pelbagai jenama di Bandar Baru Bangi yang padat dikunjungi pelanggan menjelang Aidilfitri ini, itulah langkah dan strategi yang patut dilakukan.
Badrul Hafizan Mat Isa ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia