spot_img

Skim pelaburan SILEGX memperdaya kerugian sebanyak RM41.5juta

spot_img

PETALING JAYA: Sebanyak 46 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung skim penipuan pelaburan SILEGX yang melibatkan kerugian mencecah RM41.5 juta di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu dikesan aktif mempromosikan skim pelaburan mata wang kripto serta saham melalui platform media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Menurutnya, mangsa yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp atau Telegram bagi diberikan penerangan lebih lanjut mengenai pelaburan tersebut.

- Advertisement -

“Sehingga kini, seramai 46 mangsa tampil membuat aduan kepada polis dengan golongan pesara paling ramai terlibat iaitu seramai 15 orang.

“Selain itu, mangsa turut melibatkan 12 ahli perniagaan, tiga guru, dua jurutera serta masing-masing seorang pegawai bank, akauntan, doktor dan suri rumah, selain 10 pekerja swasta daripada pelbagai sektor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Ramli, antara kes terbaharu membabitkan tiga pesara termasuk dua wanita berusia antara 57 hingga 71 tahun yang mengalami kerugian keseluruhan mencecah RM9.38 juta.

- Advertisement -

Beliau berkata, salah seorang mangsa, lelaki berusia 71 tahun, memaklumkan melihat iklan pelaburan kripto di Facebook sebelum menghubungi nombor WhatsApp yang dipaparkan.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diberikan penerangan lanjut mengenai pelaburan saham serta mata wang kripto.

“Mangsa juga telah mendaftar akaun di platform tersebut dan membuat 42 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5 juta,” katanya.

Menurutnya, pada awal Mac lalu, mangsa diberitahu bahawa platform tersebut menghadapi masalah dan diarahkan untuk mengeluarkan wang sebelum akaunnya dibekukan.

“Ketika itu, mangsa mendapati pelaburannya telah menjana keuntungan mencecah AS$205,463,456 (RM1 bilion).

“Bagaimanapun, apabila mahu mengeluarkan wang, mangsa diarahkan membayar yuran proses sebanyak AS$230,000 (RM1.01 juta). Mangsa mula curiga dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati sebanyak 39 akaun bank digunakan skim tersebut untuk menerima wang daripada mangsa.

“Sebanyak 37 akaun bank didaftarkan atas nama syarikat manakala dua lagi atas nama perniagaan. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

 

 

Sumber – UTUSAN

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img