MELBOURNE: Juara Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui perlumbaan pertamanya pada musim ini lebih teruk daripada apa yang dijangkakan berikutan kurang berkeyakinan serta wujud salah faham semasa Grand Prix (GP) Australia.
Hamilton menamatkan saingan GP Australia di tempat ke-10 walaupun beberapa ketika pelumba Ferrari itu mendahului perlumbaan, namun pasukan itu mengambil risiko untuk kekal berada di litar semasa hujan lebat di akhir saingan.
Situasi itu terbukti Ferrari membuat keputusan salah apabila Hamilton jatuh ke tangga kesembilan selepas akhirnya berhenti untuk menukar tayar dan akhirnya pelumba dari Britain itu menamatkan perlumbaan di belakang Oscar Piastri.
Hamilton berkata, dia menjangkakan perlumbaan pertamanya bersama Ferrari akan berjalan lebih baik dan kemudiannya mengakui menjadi cabaran besar untuk membiasakan diri dengan kereta baharunya dan menghadapi keadaan sekeliling.
“Dari kali pertama saya memandu kereta ini dalam hujan, kereta itu berkelakuan sangat berbeza daripada apa yang saya alami sebelum ini, unit kuasa, semuanya fungsi, stereng, semua perkara ini diberikan kepada anda dan anda cuba untuk mengawalnya.
“Malangnya pada penghujungnya mereka berkata ia hanya hujan sekejap dan selebihnya trek kering, jadi saya fikir, saya akan bertahan selagi boleh. Saya boleh kekal di atas trek.
“Mereka tidak kata ada lagi hujan yang akan datang, jadi tiba-tiba lebih banyak hujan turun, jadi saya rasa itu hanya kekurangan sedikit maklumat pada penghujungnya.
“Saya tidak ada keyakinan hari ini (kelmarin), malangnya, jadi saya akan buat beberapa perubahan pada kereta minggu depan. Hari ini adalah masalah dengan brek dan kestabilan belakang, terutama semasa di atas kuasa, banyak kejutan, saya hampir terlanggar dinding banyak kali!,” kata Hamilton.
Sumber – UTUSAN