KUALA LUMPUR – Tahap kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas cuti sakitnya tamat esok masih menjadi tanda tanya apabila doktor yang merawatnya tidak dapat mengesahkan sama ada beliau boleh dirakamkan keterangan atau sebaliknya.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah merakam keterangan doktor berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil rakaman percakapan doktor itu, beliau tidak dapat mengesahkan keadaan kesihatan Datuk Seri Ismail Sabri selepas cuti sakitnya tamat esok.
“Sekiranya beliau sihat, keterangan boleh diambil oleh SPRM,” katanya pada Selasa.
Selain itu, sumber berkenaan turut memaklumkan bahawa sebanyak 13 akaun bank dianggarkan bernilai RM9.33 juta telah dibekukan setakat ini bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, SPRM telah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri ke-9 itu.
Menurut sumber, seramai 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini telah dirakamkan percakapan sehingga semalam.
“Sementara itu, seramai 23 saksi baharu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakamkan keterangan,” katanya.
Jumaat lalu, pegawai penyiasat SPRM telah menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri bagi mengetahui sejauh mana tahap kesihatannya.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat lalu, namun tidak berbuat demikian kerana dikatakan masih tidak cergas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa proses rakaman percakapan itu ditunda ke Rabu ini kerana beliau masih diberikan sijil cuti sakit.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Dalam perkembangan sama, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, swiss franc dan yuan.
Selain itu, sebanyak 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta turut disita.