SELEPAS sembilan bulan, Kumpulan Pakar Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) yang diketuai oleh Datuk Prof. Emeritus Dr. Asma Ismail telah menyiapkan rangka tindakan (blueprint) pendidikan tinggi negara yang baharu.
Dokumen tersebut telah diterima secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan akan dibawa serta dibentang ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
PPTM 2025-2035 adalah hasil usaha anak tempatan tanpa bergantung kepada perunding asing, sekali gus membuktikan keupayaan pakar Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.
Pembangunan rangka tindakan ini melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam sembilan bulan, satu tempoh yang jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua tahun.
Proses penyelidikan ini turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta lebih 22 penulis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global serta mencatat pencapaian asas.
Pelaksanaan rangka tindakan ini memerlukan komitmen kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam lanskap pendidikan tinggi global.
PPTM 2025-2035 menandakan KPT sudah bersedia memacu permulaan baharu bagi pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada inovasi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan akademik dan industri. Malah pelan ini dijangka akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dekad akan datang serentak merealisasikan visi sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. – KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI