PETALING JAYA: Desakan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran khas daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menyebabkan orang Melayu ketinggalan dari segi pendapatan, sekali gus mewujudkan jurang simpanan KWSP dengan kaum lain.
Penganalisis Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pengeluaran khas daripada akaun KWSP yang kerap didesak oleh golongan Melayu menyebabkan jumlah simpanan semakin berkurang, sehingga jurang antara kaum semakin melebar.
Katanya, tanpa langkah proaktif untuk menangani isu ini, jurang simpanan yang semakin meluas akan memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama golongan Melayu.
“Desakan daripada orang Melayu, turut mendorong parti pembangkang supaya kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan hari tua itu.
“Saya kira, ahli politik perlu lebih bertanggungjawab dan tidak terus mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kerana sekiranya ia diteruskan, negara akan berhadapan dengan krisis sosial teruk, terutamanya golongan Melayu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Lebih-lebih lagi statistik menunjukkan golongan pekerja bumiputera, khususnya Melayu, jauh ketinggalan dari segi pendapatan dan ia menyumbang kepada jurang simpanan KWSP yang semakin ketara,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Baharom berkata, simpanan KWSP amat penting bagi memastikan kesejahteraan hidup selepas persaraan dengan sekurang-kurangnya RM240,000 diperlukan dalam akaun KWSP untuk memastikan kehidupan yang selesa selepas bersara, lebih-lebih lagi purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah sekitar 75 tahun, dengan 20 tahun lagi selepas persaraan.
Jurang pendapatan golongan pekerja Melayu didapati masih ketara berbanding kaum-kaum lain sekali gus membimbangkan akan berlakunya krisis simpanan pada hari tua.
Statistik dikeluarkan KWSP sehingga 31 Disember lalu mendapati, seramai 8.3 juta pencarum Melayu mencatatkan jumlah simpanan sebanyak RM363.85 bilion, dengan purata simpanan hanya RM43,843.
Sedangkan, golongan pekerja Cina yang lebih sedikit iaitu 4.45 juta ahli, mencatatkan jumlah simpanan jauh lebih tinggi iaitu RM676.48 bilion, dengan purata simpanan sebanyak RM151,988.
Manakala pencarum India juga mencatatkan purata simpanan lebih tinggi berbanding Melayu, iaitu RM72,582 dengan 1.34 juta ahli dan RM97.47 bilion simpanan.
Sementara itu, pakar ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata, jurang simpanan yang ketara perlu diberi perhatian serius sebelum ia terus berkembang menjadi masalah lebih kritikal.
Katanya, jurang itu terjadi kerana gaji yang diterima pekerja berbeza mengikut lokaliti, di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor, kebanyakan pekerja menerima gaji lebih tinggi, malah kaum bukan Bumiputera juga banyak bertumpu di bandar besar akibat faktor sejarah sejak zaman merdeka.
“Kaum Melayu banyak bertumpu di negeri-negeri yang mempunyai purata gaji yang lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata, majikan berperanan penting menangani isu berkenaan apabila ada pengiklanan jawatan kosong oleh syarikat-syarikat swasta yang tidak menyatakan jumlah gaji ditawarkan.
“Jika restoran boleh memaparkan harga makanan, mengapa tawaran pekerjaan tidak memaparkan gaji? Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara pekerja dan majikan,” katanya.
Beliau memetik kajian Universiti Malaya (UM) yang menunjukkan, apabila dua individu menghantar resume yang sama tetapi berbeza kaum, pemohon bukan Bumiputera mendapat lebih banyak panggilan temuduga.