BUKIT MERTAJAM: Tekanan dalaman sedang berlaku untuk menggulingkan Lim Guan Eng daripada jawatan dalam DAP, menurut sumber dalaman parti.
Pada hari Isnin lepas, veteran parti S Neelamekan mendakwa terdapat anasir luaran yang sedang berusaha untuk memecat Guan Eng daripada jawatannya manakala sumber lain berkata seorang pemimpin yang lebih “sederhana” sedang dicari dalam usaha untuk menarik pengundi Melayu bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan untuk PRU16.
Sumber dalaman DAP mendakwa sentimen negatif terhadap Guan Eng, bekas ketua menteri Pulau Pinang dua penggal itu, telah ‘terkumpul’ selama bertahun-tahun, namun ia memuncak dikalangan ahli-ahli DAP yang amat kecewa dengan teguran terbuka Guan Eng terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pemilihan parti DAP dijangka diadakan pada 16 Mac.
Sumber dalaman itu juga berkata ahli parti telah menyatakan kebimbangan terhadap cengkaman berterusan keluarga Dinasti Lim Kit Siang terhadap parti itu, dengan kakaknya Hui Ying kini setiausaha DAP Pulau Pinang.
(Hui Ying juga menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan)
Mereka memberi amaran bahawa nilai teras parti itu berisiko.
“Pemimpin mesti dipilih berdasarkan merit,” kata orang dalam.
Guan Eng juga dilihat sebagai “liabiliti terhadap DAP yang semakin meningkat”, tambah sumber dalaman itu, dengan veteran parti bimbang bahawa dua kes rasuah yang sedang dihadapinya “mungkin menjejaskan imej DAP”.
Sumber dalaman parti itu berkata lagi, ahli veteran DAP bersetuju bahawa Guan Eng dan bapanya Kit Siang kedua-duanya telah banyak berkorban untuk kepentingan parti.
“Ya, Guan Eng dan Kit Siang dipenjarakan (mempertahankan cita-cita parti), tetapi itu tidak bermakna anda boleh membuat apa saja pada parti.
“Anda (Guan Eng) telah mempunyai rekod dua penggal sebagai ketua menteri, bertahun-tahun sebagai Ahli Parlimen, dan Kit Siang telah pun diiktiraf dengan gelaran Tan Sri dan Dato’ Seri,” kata orang dalam itu yang mahu dinasti keluarga Lim dalam DAP disekat.
Sumber dalaman itu berkata lagi bahawa pengkritik Guan Eng tidak mahu lagi beliau berkhidmat sepenggal lagi sebagai pengerusi parti, kerana itu akan meletakkannya dalam jawatankuasa lima orang berkuasa yang meluluskan calon pilihan raya.
Namun masih terdapat segelintir yang menyokong Guan Eng, yang mendakwa bahawa semua pendakwaan rasuah terhadapnya adalah direka. Mereka juga mahukan suara ‘ekstrem’ Guan Eng, yang kini tidak menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan perpaduan, sebagai imbal-balik kepada perjuangan asal DAP.