PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan bekerjasama untuk memajukan kedua-dua kepentingan demi negara dan negeri, kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Bagaimanapun, kepentingan Sarawak akan diutamakan sepanjang kerjasama antara kedua-dua syarikat gas, katanya.
Abang Johari berkata ini adalah satu daripada beberapa perkara yang dipersetujuinya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa Petros akan menjadi pengumpul (agregator) gas tunggal di Sarawak.
“Walaupun Petros mengambil peranan sebagai agregator gas, kontrak sedia ada yang dimeterai oleh Petronas dan anak syarikatnya tidak terjejas bagi membolehkan Petronas memenuhi obligasi kontrak domestik dan antarabangsanya.
“Tetapi prestasi kontrak sedia ada sedemikian tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai pengumpul gas dan tidak bercanggah dengan peruntukan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perjanjian utama juga termasuk saling menghormati undang-undang persekutuan dan negeri, seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan KKP, di samping permintaan penerokaan luar pesisir bagi memenuhi jaminan volum gas yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Abang Johari juga menegaskan Sarawak komited untuk menggunakan gas secara mampan untuk menyokong pertumbuhan perindustrian, keperluan tenaga di Semenanjung Malaysia dan pengeluaran tenaga bersih, sejajar dengan matlamat kerajaan persekutuan untuk menjadikan Sarawak hab tenaga bersih.
“Kerajaan Sarawak, demi kepentingan negara, komited teguh untuk memastikan jumlah gas yang dijamin serta sebarang gas tambahan yang dihasilkan di luar pesisir barat Sarawak dan di tempat lain di pelantar benua, akan digunakan secara mampan,” katanya.
Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan dan Sarawak telah bersetuju supaya Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua obligasi kontrak sedia ada — domestik dan antarabangsa.
Dalam menjelaskan pertikaian mengenai hak Sarawak untuk mengeksploitasi rizab minyak dan gas di dalam dan sekitar negeri, Anwar berkata kedua-dua kerajaan juga mengiktiraf PDA sebagai undang-undang persekutuan.
Bagaimanapun, bagi memenuhi aspirasi negeri Malaysia Timur dalam sektor minyak dan gas, telah dipersetujui bahawa DGO akan berkuat kuasa pada 1 Mac.