Kuala Lumpur 18 Februari: Banyak syarikat tersenarai di Bursa Malaysia masih berdepan cabaran pulangan ekuiti (ROE – Return of Equity) yang rendah, dengan sebahagiannya mencatat kadar di bawah lima peratus, malah ada yang lebih lemah daripada pulangan simpanan tetap di bank.
Situasi itu bukan saja menjejaskan keyakinan pelabur, malah membuktikan kegagalan syarikat dalam menjana pulangan kompetitif kepada pemegang saham.
Justeru, syarikat korporat di negara ini perlu mempunyai perancangan strategik dalam memastikan prestasi saham mereka mantap dan mampu menjana pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata bagi mencapai matlamat itu, syarikat korporat Malaysia perlu terus meningkatkan produktiviti dan keuntungan mereka.
Justeru, katanya, keadaan itu menuntut usaha lebih serius daripada syarikat untuk meningkatkan pulangan kepada pemegang saham dan memastikan prestasi yang lebih baik pada masa hadapan.
“Walaupun setiap sektor mempunyai cabaran tersendiri, pihak pengarah dan pengurusan syarikat perlu memainkan peranan aktif dalam menaikkan harga saham serta memastikan ROE berada pada tahap yang tinggi bagi membina kredibiliti dan keyakinan pelabur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Rahman juga mengakui prestasi pulangan di Bursa Malaysia juga mempengaruhi prestasi agihan pendapatan unit amanah di bawah edarannya seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) memandangkan 60 peratus daripada pelaburannya adalah dalam pasaran saham.
Beliau berkata, jika prestasi saham di Bursa Malaysia memberangsangkan, sudah pasti situasi itu membolehkan PNB menawarkan dividen yang tinggi kepada pelabur unit amanahnya.
Katanya, sepanjang 10 tahun lalu, prestasi Bursa Malaysia berada dalam keadaan mendatar, malah ada kalanya negatif.
“Contohnya, pada permulaan tahun 2014, Indeks FBM KLCI berada sekitar paras 1,850 mata, tetapi kini hanya sekitar 1,600 mata. Ini menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh PNB untuk mengekalkan pulangan dividen yang tinggi kerana pulangan daripada pelaburan pasaran saham menjadi terhad.
“Justeru, pulangan pelaburan yang lebih tinggi bergantung kepada prestasi syarikat korporat Malaysia. Jika syarikat Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang, ia akan meningkatkan harga saham dan pulangan dividen, sekali gus memberikan impak positif kepada pelabur,” katanya.