spot_img

Negara-negara Arab kemuka pelan 5 tahun bina semula Palestine

spot_img

KAHERAH: Negara-negara Arab dijangka mengumumkan pelan pemulihan Gaza pada sidang kemuncak di Kaherah, 27 Februari ini.

Inisiatif yang dibangunkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan diserahkan kepada Mesir untuk pelaksanaan itu akan dibentangkan kepada pemimpin Jordan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Pelan berkenaan memperuntukkan tempoh pemulihan antara tiga hingga lima tahun, tanpa pemindahan penduduk Palestin dan pembabitan Hamas dalam proses pentadbiran.

Pembiayaan dijangka mencecah ratusan juta dolar dengan dana utama datang daripada negara-negara Teluk.

- Advertisement -

Sementara itu, syarikat pembinaan dari Mesir akan bertanggungjawab dalam kerja pemulihan.

Ia akan memberikan manfaat ekonomi besar kepada Mesir yang secara tegas menolak sebarang migrasi rakyat Palestin ke luar Gaza.

“Tenaga kerja utama akan terdiri daripada penduduk Palestin sendiri. Ini bagi memastikan pembangunan Gaza dikendalikan mereka yang paling terkesan berikutan peperangan ini,” kata seorang pegawai Arab yang terbabit dalam perancangan itu.

- Advertisement -

Pelan ini juga merangkumi pembentukan satu pentadbiran Palestin yang bebas tetapi masih bergantung kepada PA.

Struktur ini dibentuk bagi mendapatkan persetujuan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menolak pengurusan langsung oleh PA.

Sumber yang terbabit dalam projek ini menyatakan matlamat utama adalah untuk mengasingkan Hamas daripada struktur pemerintahan Gaza.

“Matlamatnya adalah untuk meminggirkan Hamas sehingga mereka sedar bahawa (mereka) telah kehilangan kawalan ke atas Gaza.

“Kami mahu menghapuskan cengkaman kumpulan itu dalam tempoh lima tahun selepas pemulihan bermula,” katanya.

Negara-negara Arab dilaporkan bimbang dengan kemungkinan serangan baru oleh Israel yang mungkin digunakan sebagai alasan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin ke negara jiran seperti Jordan dan Mesir.

Trump sebelum ini mencadangkan negara-negara Arab menerima lebih ramai pelarian dari Gaza supaya wilayah itu boleh ‘dibersihkan’.

Namun, cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada negara seperti Mesir dan Jordan yang melihatnya sebagai usaha menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka sendiri.

Analisis imej satelit menunjukkan sekitar 65 peratus bangunan di Gaza musnah akibat perang dengan anggaran pemulihan berpotensi mengambil masa lebih satu dekad dan menelan belanja ratusan bilion dolar.

Arab Saudi kini dilaporkan mengetuai usaha negara-negara Arab dalam merangka pelan alternatif yang berbeza daripada cadangan Trump.

Beberapa pemimpin dari Mesir, Jordan, UAE, dan Palestin dijangka membincangkan butiran akhir rancangan ini dalam satu pertemuan di Riyadh bulan ini sebelum dibawa ke Sidang Kemuncak Arab pada 27 Februari.

Pelan ini dijangka berlandaskan idea lama termasuk cadangan PA yang merangkumi pentadbiran teknokrat, pasukan keselamatan yang dilatih oleh negara-negara Arab serta jaminan bahawa tidak akan ada pemindahan paksa penduduk Palestin.

Penduduk yang kehilangan tempat tinggal akan ditempatkan di kawasan pertanian dan zon sementara sehingga pemulihan sepenuhnya selesai.

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img