spot_img
spot_img

Hab Halal dan TVET peluang untuk bumiputera ke arah pasaran global

spot_img

PETALING JAYA: Kepesatan pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi berjaya meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin kukuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara akan terus berusaha melahirkan tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan industri berkembang pesat.

“Ia termasuk dalam bidang automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan pintar.

- Advertisement -

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era ekonomi moden,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia Suku Keempat 2024, yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi lima peratus pada suku keempat dan 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun 2024, berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, industri halal juga berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi negara.

- Advertisement -

“Malaysia mesti mengekal­kan kedudukan sebagai hab halal global dengan memperkukuh ekosistem halal, memperluaskan pasaran eksport serta memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini adalah strategi penting untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri halal global yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kepentingan pembangunan luar bandar yang melibatkan pelbagai aspek seperti keusahawanan, TVET, industri halal, ekonomi Bumiputera dan pelancongan perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, lebih lapan juta rakyat tinggal di luar bandar dan kerajaan Madani komited untuk memastikan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik dan internet terus dipertingkatkan.

“Dalam memastikan kesejahteraan ekonomi Bumiputera, kerajaan akan memperkukuh akses kepada pem­biayaan strategik melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi merancakkan lagi pemerkasaan ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyentuh peranan sektor pelancongan sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh industri ini, dengan menekankan segmen ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan Islamik dan pelancongan budaya bagi menarik lebih banyak pelaburan serta meningkatkan kedatangan pelancong berkualiti ke Malaysia,” katanya.

Katanya, lonjakan permin­taan tenaga buruh dalam sektor swasta yang kini melebihi 9.01 juta buat pertama kali sejak 2018 menunjukkan tanda pemulihan ekonomi yang kukuh selepas situasi ketidaktentuan politik dan pandemik Covid-19.

“Saya yakin Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan kerjasama erat antara Kerajaan, sektor swasta dan rakyat menjadi kunci utama bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

 

 

 

Sumber : Utusan Malaysia

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img