PUTRAJAYA: Semua agensi kerajaan tidak boleh lagi menubuhkan anak syarikat baharu tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana terlalu banyak syarikat berkaitan mencatatkan kerugian besar.
Beliau berkata, membatalkan syarikat yang gagal bukan tugas mudah tetapi perkara itu perlu dilakukan demi reformasi institusi negara.
“Saya juga sudah meminta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi menyeragamkan agensi kerajaan.
“Ini akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebelum saya putuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan dan pelancaran Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan menubuhkan Sekretariat Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan dengan pelantikan Asri sebagai Ketua Sekretariat.
Sekretariat berkenaan bagi membuat kajian bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi institusi perlu dilaksanakan dengan pantas termasuk dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata, pembaharuan dalam pengauditan juga dilaksanakan dalam usaha memperkukuh tatakelola dan kecekapan pengurusan wang awam melalui inisiatif baharu yang diperkenalkan iaitu Sistem e-SelfAudit bagi pengauditan syarikat kerajaan.
“Dua minggu lalu, kita telah melancarkan sistem pengauditan bukan sahaja untuk jabatan kerajaan tetapi juga untuk syarikat-syarikat kerajaan.
“Walaupun audit syarikat berbeza dengan audit jabatan kerajaan, kita tetap perlu menegur dan membaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, iPayment merupakan antara inisiatif untuk memperkukuh reformasi sistem pembayaran kerajaan.
Anwar berkata, iPayment dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan boleh digunakan oleh semua agensi kerajaan tanpa perlu membangunkan sistem pembayaran elektronik secara berasingan.
“Sebelum ini, setiap agensi kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu.
“Dengan adanya iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan,” katanya.
iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter (point of sale) dan aplikasi mudah alih. Sistem ini memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet (DuitNow Online Banking/Wallets), kod QR (DuitNow QR) dan juga e-dompet.
Perdana Menteri turut menggesa supaya inisiatif memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid disegerakan.
Beliau berkata, perancangan dasar Reformasi Pendidikan yang telah diputuskan kerajaan tidak boleh memakan masa yang panjang.
Katanya, pemerkasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid perlu diberi anjakan sebagaimana telah disepakati selain satu pasukan perlu digerakkan untuk berfikir dan bertindak secara pantas ke arah merealisasikan usaha tersebut.
Sementara itu, Anwar juga menegur supaya segelintir pihak tidak menjadikan hal remeh-temeh sebagai modal politik picisan.
Katanya, sebarang teguran dan nasihat itu baik, namun tidak harus semua isu dijadikan masalah besar.
“Semua nak jadi satu masalah. Raya Cina pun jadi masalah, Thaipusam pun jadi masalah. Jadi politik picisan. Bicara hal-hal remeh yang tidak jadi masalah selama ratusan tahun di negara kita di Malaysia ini,” katanya.
Sumber – Utusan

















