PETALING JAYA: Isu kesesakan di hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang semakin ‘tenat’ apabila ada pesakit terpaksa menunggu sehingga 15 jam sebelum dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan.
Keadaan itu cukup merungsingkan apabila pada tahun lalu, penduduk di Lembah Klang dianggarkan meningkat kepada 8.8 juta orang berbanding 7.5 pada tahun 2018 hingga menimbulkan persoalan kemampuan hospital kerajaan menampung jumlah pesakit yang semakin tinggi.
Menceritakan pengalaman menunggu sehingga 15 jam di sebuah hospital kerajaan di Selangor, seorang bapa, Haspaizi Mohd. Zain berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lepas apabila dia membawa anaknya lelakinya berusia 16 tahun, mendapatkan rawatan susulan.
Katanya, dia dan anaknya berada di hospital tersebut pada pukul 8 pagi selepas dijadualkan berjumpa pakar bedah namun hanya dapat berbuat demikian selepas dua jam menunggu.
“Sekitar pukul 10 pagi baru dapat berjumpa doktor pakar. Apabila diperiksa semua dan membaca laporan, doktor memaklumkan kes anak saya perlu dirujuk ke pakar tulang (ortopedik) di Jabatan Kecemasan.
“Ketika di Jabatan Kecemasan bermulalah episod menunggu. Pada mulanya, doktor minta anak saya membuat x-ray di bahagian yang sakit iaitu paha, namun apabila di jabatan kecemasan diminta sekali lagi buat x-ray di bahagian dada pula.
“Selesai semuanya, doktor tak bagi sebarang makluman dan kami terpaksa menunggu sehinggalah pukul 1 tengah hari. Apabila ditanya, jururawat hanya kata perlu tunggu pakar tulang periksa terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Haspaizi berkata, sekitar pukul 3.30 petang dia dimaklumkan untuk membawa anaknya ke bahagian pembedahan semula dan terpaksa menunggu dua jam sebelum dimaklumkan anaknya perlu dimasukkan ke wad.
“Sekitar pukul 7.30 malam anak dapat katil namun di Jabatan Kecemasan dan akhirnya, pada pukul 9.45 malam barulah dia dimasukkan ke wad. Tak lama selepas itu, pukul 12 tengah malam kami dimaklumkan dia boleh pulang ke rumah pula,” katanya.
Haspaizi yang juga seorang wartawan berkata, dia bukanlah mahu mempertikaikan kewibawaan doktor mahu pun jururawat di hospital tersebut sebaliknya mempersoalkan sistem rawatan di hospital kerajaan sehingga terpaksa menunggu 15 jam untuk mendapatkan rawatan.
“Sudahlah tunggu sehingga 15 jam, sehingga saya sampai ke rumah, saya tak tahu apa punca bengkak di paha anak.
“Jadi mintalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad teliti semula sistem ini, teruk sangat, ini tahun 2025, tapi hendak masuk ke wad kena tunggu 15 jam,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Dee Pasir Mas turut berkongsikan pengalaman menunggunya di sebuah lagi hospital kerajaan di Lembah Klang bagi mendapatkan rawatan patah jari tangan akibat kemalangan.
Katanya, dia terpaksa menunggu sehingga tiga hari untuk mendapatkan rawatan kecederaan dialaminya sebelum membuat keputusan untuk bertukar ke hospital swasta.
“Saya mengalami kemalangan berhampiran Stesen KTM Seksyen 19 Shah Alam, sekitar pukul 6 petang dibawa ke klinik biasa namun dirujuk ke hospital kerajaan. Sekitar pukul 7.30 malam dimasukkan ke unit kecemasan dan trauma namun pada pukul 10 malam doktor beritahu perlu jalani pembedahan pagi esok.
“Kemudian saya dimasukkan ke wad. Apabila tiba pagi keesokkan harinya, tiada apa-apa yang berlaku. Apabila ditanya, dimarahi pula katanya ada banyak kes lebih besar perlu diberi perhatian.
“Selepas tiga hari tidur di wad, majikan menghubungi untuk mengetahui perkembangan, tetapi apabila saya maklumkan masih belum ada apa-apa, dia cadangkan supaya mendapatkan rawatan di hospital swasta sahaja,” katanya.
Seorang lagi, Haslindah Rahmah, 40, berkata, urusannya membuat pemeriksaan di hospital kerajaan di Lembah Klang amat memenatkan kerana terpaksa beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran.
“Isunya di sini adalah tempoh menunggu untuk membuat imbasan hati dan proses mengambil darah terlalu lama. Walaupun sudah datang awal tetapi biasanya sekitar pukul 12 tengah hari baru selesai semuanya.
“Ini yang saya hadapi setiap enam bulan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan dan jika ada kemampuan, rasanya lebih baik pergi ke hospital swasta,” katanya.
Sumber : utusan