PETALING JAYA : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyalurkan pembiayaan bernilai RM1.084 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi sepanjang 2024.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan tersebut memberikan manfaat kepada seramai 42,689 usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak.
“Manakala pada tahun 2023, KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM731.205 juta kepada 42,006 usahawan di sini.
“Ia disalurkan melalui tujuh agensi di bawah kementerian iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp. Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ewon, beliau yakin susulan kerancakan pembangunan ekonomi di Sarawak, jumlah pembiayaan itu akan meningkat, tahun ini.
“Saya amat yakin kita boleh menambah lagi pembiayaan yang diperlukan oleh usahawan-usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak di bawah inisiatif Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara kita.
“Dasar ini membolehkan kementerian memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan dan koperasi di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, antara geran pembiayaan yang disediakan untuk usahawan PMKS ialah geran khas usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak, Premis Tamu Desa dan Program Digital Desa Bank Rakyat.
Jelasnya, Program Digital Desa Bank Rakyat merupakan inisiatif Bank Rakyat membawa perkhidmatan perbankan digital dan perkhidmatan digital lain kepada rakyat di luar bandar.
“Sejak kunjungan hormat pertama saya kepada Premier Sarawak pada awal 2023 sebaik diberi amanah di kementerian ini, saya telah menyatakan tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian seluruh negara, saya mahu memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Dengan kerjasama penuh kerajaan Sarawak, banyak inisiatif kita laksanakan di negeri ini,” katanya.
Sumber – UTUSAN