DAVOS: Dasar menyekat perdagangan bebas bukan sahaja akan memberi kesan kepada Malaysia dan negara Asean lain tetapi juga akan memberi kesan kepada ekonomi Amerika Syarikat sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam temu bual dengan TRT World berkata beliau akan membantah sebarang inisiatif oleh Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang bertujuan untuk mengenakan tarif ke atas pesaing dan rakan sekutu.
“Sebagai dasar, walaupun tidak sama dengan pendirian AS, sudah tentu kami membantah.
“Sejak beberapa dekad yang lalu, Barat selalu bercakap tentang perdagangan bebas.
“Dan kini, ekonomi sedang pesat membangun dan telah bertapak kukuh, dan tiba-tiba anda mahu mengenakan tarif ini.
“Saya, pada dasarnya, akan membantah perkara ini, tetapi (setelah difikirkan) kemudian kita perlu mengharungi ribut (perkara baru) itu.” katanya sebagai menjawab soalan mengenai kemungkinan perang perdagangan dan tarif yang dirancang oleh pentadbiran Trump.
Anwar, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa Malaysia kekal komited untuk memupuk hubungan dua hala yang kukuh dengan kedua-dua AS dan China di tengah-tengah pertikaian perdagangan mereka yang berterusan.
“Begitu juga dengan EU dan negara lain seperti Turkiye, India, dan Australia.
“Itulah sebabnya kami telah memohon untuk menyertai BRICS untuk menjadi sebuah negara perdagangan yang berkesan,” katanya.
Anwar menambah bahawa walaupun akan ada tempoh “sedikit ketidakpastian” berikutan permulaan tempoh kedua pentadbiran presiden Trump, beliau menyatakan keyakinan bahawa kestabilan akan kembali tidak lama lagi.
“Kami menjangkakan sedikit ‘pergolakan kecil’ dalam hal ehwal global.
“Daripada kenyataannya (Trump), dia sangat melindungi dan mahu memberi tumpuan semata-mata kepada AS.
“Tetapi saya percaya ini mungkin akan reda selepas beberapa bulan kerana kebanyakan rakan sekerja dan penasihatnya adalah pemain korporat global yang mempunyai minat yang sama terhadap AS seperti di luar negara.
“Selepas beberapa bulan ‘kejutan kecil’ ini, saya rasa keadaan akan menjadi agak reda,” katanya.
Trump baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan tarif 10% ke atas import China mulai 1 Feb, mengaitkan keputusan itu dengan dakwaan peranan China dalam krisis fentanyl.
Menurut Trump, fentanyl dihantar dari China melalui Kanada dan Mexico ke AS.
Berucap di Forum Ekonomi Dunia dalam sidang video dari Washington, Trump menggesa perniagaan global untuk mengeluarkan produk di AS untuk mengelakkan tarif.