PETALING JAYA: Premier Sarawak Abang Johari Openg mencadangkan persatuan Melayu di negeri ini mewujudkan tabung amanah untuk menguruskan hartanah milik orang Melayu.
Beliau berkata persatuan itu boleh membeli hartanah milik Melayu melalui tabung amanah pada harga pasaran dan menguruskannya tanpa mengubah status mereka.
“Sebagai contoh, jika pemilik meninggal dunia dan tanah itu mempunyai nilai komersial, ia akan dijual kepada sesiapa sahaja. Orang Melayu biasanya tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli tanah, jadi ia akhirnya tidak lagi menjadi milik Melayu.
“Penyelesaiannya adalah untuk memajukan masyarakat Melayu melalui tabung amanah. Jika harta itu dijual kerana faraid (waris), tabung amanah boleh membelinya dan ia akan diuruskan oleh masyarakat Melayu sendiri dengan membeli pada harga pasaran,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
Abang Johari berkata usaha sebegini akan membantu memastikan hartanah itu tidak “tergelincir”, terutamanya jika ia berada di kawasan Melayu.
“Kita juga boleh bekerjasama dengan bukan Melayu dengan syarat orang Melayu sendiri perlu mengambil bahagian sebagai rakan kongsi ekuiti, bukan menjualnya 100%. Untuk mengambil ekuiti itu, orang Melayu mesti mempunyai kekuatan kewangan.
“Jika tidak, ia akan menjadi seperti Kampung Wireless di Miri, di mana hanya tinggal masjid lama Miri, sama seperti Kampung Nyabor di Sibu.
“Sebab itu orang Melayu mesti bersatu dari segi kekuatan kewangan dan melabur melalui tabung amanah ini. Kemudian kita boleh mempertahankan warisan kita. Saya bersyukur kita sudah ada formula di Sarawak,” katanya.