JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan menterinya untuk menghentikan import beras, garam, gula dan jagung pada 2025, menurut Menteri Penyelaras Makanan, Zulkifli Hasan, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).
Dalam sidang media selepas mesyuarat di Istana Negara, Zulkifli memaklumkan bahawa tiada kuota import akan ditetapkan bagi komoditi itu pada 2025.
Dalam mesyuarat yang sama, presiden turut memutuskan untuk menaikkan harga belian kerajaan (HPP) bagi padi daripada Rp6,000 (sekitar AS$0.37) kepada Rp6,500 (sekitar AS$0.40).
Harga lantai belian (HAP) untuk jagung juga dinaikkan daripada Rp5,000 (sekitar AS$0.31) kepada Rp5,500 (sekitar AS$0.34).
Zulkifli menjelaskan keputusan ini dibuat selepas perbincangan dan turut menekankan keputusan bersejarah iaitu kerajaan akan membeli semua hasil padi, beras dan jagung yang dihasilkan oleh petani.
“Hasil padi dan jagung yang dihasilkan petani akan ditampung pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Hasil tuaian petani akan disimpan di gudang milik syarikat logistik milik negara, Bulog, koperasi utama dan gudang yang menggunakan sistem resit.
Prabowo mempengerusikan mesyuarat di Istana Negara di Jakarta pada Isnin bagi membincangkan program keselamatan makanan kerajaan.
Mesyuarat berlangsung selama kira-kira dua jam.
Sebelum ini, dalam ucapan pelantikannya pada 20 Oktober Prabowo menyuarakan keyakinannya bahawa Indonesia dapat mencapai keterjaminan makanan dalam tempoh empat hingga lima tahun.
Sumber – Bernama-Antara