PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma kepada penduduk yang mempunyai masalah kewangan.
Ini kerana kata Dr. Muhammad Akmal, jangan disebabkan kekangan kewangan orang ramai membiarkan masalah kesihatan semakin teruk.
“Sekali lagi saya nak maklumkan, untuk klinik Dr Akmal Saleh, kalau tak ada duit,boleh hutang pun tak apa.
“Kalau segan nak berhutang maklum pada saya, saya bagi percuma pun boleh,” tulisnya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, langkah itu bertujuan untuk membantu penduduk DUN Merlimau dan sekitarnya mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta berkongsi rezeki.
(Tangkap layar perbualan Dr. Muhammad Akmal bersama pemandu lori di aplikasi WhatsApp)
“Saya pernah berada di dalam keadaan anda semasa dahulu dan kini beri saya peluang untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang bersama.
“Yang penting kesihatan anda terjaga. Anak kampung untuk orang kampung,” katanya.
Terdahulu, Dr. Muhammad Akmal telah berkongsi satu perbualan di aplikasi WhatsApp bersama seorang individu yang bertanyakan sama ada boleh mendapatkan rawatan di kliniknya kalau tidak mempunyai duit ekoran belum menerima gaji.
Menerusi perbualan itu, Muhammad Akmal memgalu-alukan kedatangan individu yang bekerja sebagai pemandu lori itu ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan.
Sumber – KOSMO! ONLINE