Damascus 17 Disember: Sejarah bangsa Arab berulang dan sentiasa bergolak. Bumi yang dahulunya dipenuhi oleh para Nabi kini rakyatnya terus terseksa. Sama seperti tumbangnya Saddam Hussein di Iraq suatu ketika dahulu di mana rakyat Iraq bersorak di jalanan, tetapi hingga saat ini, negara itu tidak pernah bangkit, malah lebih teruk. Yang terbaru di Syria, selepas kejatuhan Bashar al-Assad Syria, Israel telah menceroboh wilayahnya pula. Inilah masalah utama dunia Arab yang tidak bersatu dan kelemahan dunia Islam secara keseluruhan.
Sejak al-Assad melarikan diri ke Rusia pada hari Ahad lalu, Israel telah menyerang Syria lebih daripada 400 kali dan, walaupun diprotes PBB, Zionis Israel terus melancarkan pencerobohan tentera ke zon penampan yang telah memisahkan kedua-dua negara sejak 1974.
Pencerobohan ini berlaku ketika Syria sedang dalam fasa peralihan daripada 53 tahun pemerintahan keluarga dinasti Bashar Al-Assad. Syria tidak mampu untuk mempertahankan diri setelah perang saudara lebih sedekad dan negara itu yang miskin.
Sebelum ini, Zionis Israel telah menyerang jirannya Lubnan dan terus melancarkan perang yang dikutuk sebagai pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza yang terkepung sudah lebih 14 bulan.
Tetapi mengapa Israel kini menyerang Syria pula? Ini adalah fakta yang semua perlu tahu.
Mengapa Israel menyerang Syria?
Zionis Israel telah mewajarkan serangannya ke atas Syria selama bertahun-tahun dengan mendakwa mereka mahu menghapuskan sasaran pangkalan tentera Iran. Bagaimanapun, Iran berkata tiada satu pun tenteranya kini berada di Syria.
Kini, Israel berkata ia memberi tumpuan kepada memusnahkan infrastruktur ketenteraan Syria pula. Ada sahaja alasan dari rejim Zionis yang banyak membuat ketidakstabilan di rantau negara teluk.
Rejim Zionis Israel mendakwa bahawa mereka cuba untuk menghentikan senjata daripada jatuh ke tangan “pelampau”, alasan yang sering digunakan untuk menghalalkan pencerobohan mereka ke atas negara-negara berjiran dengannya.
Apa yang disasarkan?
Israel berkata ia telah menyasarkan kemudahan ketenteraan, termasuk gudang senjata, depoh peluru, lapangan terbang, pangkalan tentera laut dan pusat penyelidikan.
Israel juga telah mengerahkan unit tentera ke zon penampan di sepanjang Bukit Golan yang memisahkan Syria dan Israel. Kawasan itu telah ditetapkan secara rasmi sebagai zon bebas tentera sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata 1974 yang ditaja oleh PBB.
Israel menduduki kira-kira dua pertiga daripada Bukit Golan, dengan zon penampan yang ditadbir oleh PBB merangkumi kawasan sempit seluas 400 kilometer persegi (154 batu persegi). Selebihnya telah dikawal oleh Syria.
Pasukan keselamatan Syria juga telah melaporkan kereta kebal Israel mara dari Bukit Golan ke Qatana, 10km (enam batu) ke dalam wilayah Syria dan dekat dengan ibu negara.
Sumber tentera Israel telah menafikan sebarang pencerobohan sedemikian.
Sebagai tambahan kepada lebih daripada 100 serangan di ibu negara Syria, Israel melakukan serangan di Al Mayadin di timur, Tartous dan Masyaf di barat laut, di persimpangan Qusayr dengan Lubnan, dan lapangan terbang tentera Khalkhalah di selatan.
Apakah alasan Israel untuk serangan terbaru ini ke atas negara yang berdaulat Syria? Alasannya ialah mereka bertindak untuk melindungi Israel daripada pengganas
Benjamin Netanyahu memberitahu wartawan pada hari Isnin lalu bahawa bekas wilayah Syria di sepanjang Dataran Tinggi Golan, yang telah dikelaskan sebagai zon tanpa tentera sejak 1974, akan kekal sebagai sebahagian daripada Israel “untuk selama-lamanya”.
Menteri Luar Israel Gideon Sa’ar telah mempertahankan serangan Israel sejak Ahad, berkata niat Israel semata-mata untuk menyasarkan tapak senjata kimia yang disyaki dan tapak roket jarak jauh – untuk mengelakkan rampasan senjata itu oleh kumpulan bersenjata yang menentang Israel.
Pada taklimat untuk media asing, Sa’ar berkata Israel bertindak “dengan cara berhati-hati”.
“Itulah sebabnya kami menyerang sistem senjata strategik, sebagai contoh, senjata kimia yang tinggal, atau peluru berpandu dan roket jarak jauh, agar ia tidak jatuh ke tangan pelampau,” katanya.
Apa yang Israel mahu dari Syria?
Itu belum jelas lagi. Tetapi yang dapat dilihat sekarang ialah adalah perluasan menakluk tanah untuk membesarkan lagi penempatan haram.
Walau bagaimanapun, beberapa tokoh terkemuka Israel telah bercakap tentang pandangan mereka tentang apa yang harus berlaku seterusnya.
Benny Gantz, ketua parti Perpaduan Nasional dan penentang Netanyahu, memberitahu pemberita pada hari Isnin bahawa ini adalah “peluang bersejarah” untuk Israel. Beliau menyeru penggubal dasar untuk “membangunkan hubungan kami dengan Druze, Kurd dan kumpulan lain di Syria”, mencadangkan bahawa Israel mungkin boleh membangunkan hubungan dengan kumpulan yang secara tradisinya menentang gabungan pembangkang bersenjata yang menggulingkan al-Assad.
Pada hari yang sama, The Times of Israel menemu bual seorang penyelidik dan bekas anggota tentera Israel, yang mengambil cadangan Gantz lebih jauh, mencadangkan bahawa Syria boleh dipecahkan kepada beberapa wilayah, dengan masing-masing bebas untuk bekerjasama dengan kuasa luar, termasuk Israel .
“Negara bangsa moden di Timur Tengah telah gagal,” kata bekas Kolonel Anan Wahabi, yang dikenal pasti sebagai ahli minoriti Druze.