KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sering membuat keputusan sendiri terutama melibatkan perkara penting parti itu sehingga menyebabkan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kurang senang dengan tindakan tersebut.
Seorang pemimpin kanan perikatan tersebut berkata, masalah itu kini menjadi bualan dalam kalangan mereka bagaimanapun ia tidak dinyatakan secara jelas kepada Muhyiddin.
Menurut beliau yang enggan namanya didedahkan, mereka sehingga hari ini hanya mendiamkan diri tindakan Muhyiddin itu kerana menghormati kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi dalam PN dan Bersatu.
“Jika apa-apa terjadi dalam PN sama ada semakin kukuh atau berpecah, ia adalah kerana Muhyiddin, itu hakikatnya. Sememangnya beliau harus bertanggungjawab dengan setiap perkara yang berlaku,” katanya.
Selain pelantikan kepimpinan dalam Bersatu yang dibuat tanpa pengetahuan pemimpin lain, Muhyiddin juga dikatakan melakukan perkara sama dalam barisan kepemimpinan PN.
“Boleh jadi juga ia menjadi penyebab mengapa Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan serta merta sebagai Bendahari Agung PN,” katanya yang dipetik daripada temuramah dengan Mingguan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Ahmad Samsuri dilapor melepaskan jawatan Bendahari Agung PN dan pengumuman mengenainya juga dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat dan pengurusan PN.
Tindakan itu mengejutkan banyak pihak kerana ia dibuat selepas mesyuarat tertinggi PN Isnin lalu mengumumkan jawatankuasanya yang baharu termasuk Ahmad Samsuri dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung PN.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PN seperti Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau saling berbalas kenyataan mengenai calon perdana menteri gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-16.
Ahmad Samsuri antara nama yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri dan ia turut dinyatakan Muhyiddin sendiri ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Kemaman pada tahun lepas.
Dalam pada itu, sumber berkenaan turut menegaskan jika gabungan dalam PN berpecah, ia hanya disebabkan oleh tindakan Muhyiddin sendiri.
Dakwanya, setiap keputusan Muhyiddin dipercayai dipengaruhi kelompok pegawai dalaman beliau, bukannya daripada kalangan pemimpin parti.
“Saya selalu perhatikan apabila setiap kali mesyuarat, orang terlibat akan turut masuk ke dalam mesyuarat berkenaan,” ujarnya.
Pada masa sama, pemimpin PN itu yakin Muhyiddin tahu beliau perlu mengadakan pertemuan segera untuk menjernihkan keadaan, namun ia tidak dapat diadakan susulan Pengerusi PN itu kini berada di luar negara.
“Sepatutnya masalah itu diatasi segera sebelum keadaan menjadi parah, adakan pertemuan seperti yang disaran sebelum beliau pergi bercuti. Adakah Muhyiddin berharap yang keadaan akan kembali jernih sebaik sahaja beliau pulang dari luar negara?
“Tinggalkan PN dalam keadaan yang sedang ‘sakit’ bukan cara terbaik pada saya,” katanya lagi.