PETALING JAYA: Keadaan kepimpinan Perikatan Nasional dan kestabilan gabungan itu dipersoal selepas PN kembali memberikan sokongan kepada inisiatif Dr Mahathir Mohamad di dalam politik – apa yang mereka gelarkan sebagai ‘musuh bersama’. ia merujuk kepada gabungan kerajaan Madani.
Menurut kata rakan Akademi Sains Malaysia Jayum Jawan yang dipetik dari FMT, tindakan PN jelas menunjukkan bahawa terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan antara Bersatu dan PAS.
(Jayum Jawan)
Ia juga menunjukkan kurang keyakinan terhadap kepimpin semasa PN, khususnya pengerusi PN Muhyiddin Yassin. Muhyiddin dilihat mempunyai pesaing di dalam Bersatu dan ada di kalangan pimpinan PAS yang mahukan jawatan tertinggi dalam PN berdasarkan pencapaian mereka yang lebih dominan berbanding Bersatu. Ini jelas pertandingan yang akan memecahbelahkan gabungan itu.
Pada Khamis baru-baru ini, Mahathir berkata beliau dan beberapa pemimpin PN telah kembali bersama demi menentang “musuh orang Melayu”, di mana kononnya orang Melayu secara beransur-ansur dirampas hak mereka di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa “Kuasa Melayu ke atas ‘Tanah Melayu’ akan hilang jika tiada apa-apa tindakan untuk menghalang perkara itu daripada berlaku. Jadi beliau menyeru orang Melayu bersatu untuk melawan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania berkata langkah Mahathir nampaknya lebih kepada dendam kepada Anwar berbanding isu nasional yang lebih luas yang diperlukan rakyat.
“Mahathir tidak pernah suka kepada Anwar, dan beliau tidak pernah mengubah pendiriannya sejak memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada akhir 90-an. Beliau telah berulang kali menyatakan bahawa Anwar tidak layak untuk memimpin Malaysia, walaupun sekarang ketika Anwar menjadi perdana menteri,” tambah Chin yang dipetik dari temuramah bersama FMT.
Chin berkata, PN berharap lebih ramai orang Melayu akan menyokong PN jika mereka kembali mengulangi formula PRU14 dahulu, iaitu Tun Dr Mahathir mengetuai kepimpinan pembangkang.
Keputusan membawa kembali veteran politik itu dilihat oleh Jawan sebagai tanda kompromi untuk menenangkan puak-puak di dalam PN yang bersaing. Ia menyerlahkan ketidakupayaan kepimpinan PN yang sedia ada untuk menyelesaikan pergaduhan dalaman, katanya.
Bulan lalu, PAS berkata ia lebih layak mengetuai pakatan pembangkang kerana mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen dan rangkaian akar umbi yang lebih kukuh di seluruh negara.
Jawan berkata: “Masanya (Tun Dr Mahathir) sudah lama berlalu.” Kekalahan Mahathir di Langkawi pada pilihan raya umum 2022, di mana dia kehilangan deposit pilihanraya kepada calon PN, adalah satu babak yang memalukan dalam karier politiknya yang panjang.
“Sejak beliau meninggalkan Umno pada 2016, beliau telah beralih sokongan dengan ketara antara menyokong pelbagai parti politik dan menubuhkan pelbagai gabungan parti politik atas sebab peribadi,” kata Jawan.