PETALING JAYA: Peningkatan purata nilai dagangan harian sebanyak 65 peratus di Bursa Malaysia pada tahun ini merupakan pencapaian signifikan yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal tempatan, didorong oleh pelbagai faktor domestik dan global.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peningkatan itu disebabkan oleh pertambahan pelaburan daripada pengurus pelabur asing, serta institusi pelaburan tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji (TH).
“Pelabur ini mengalihkan pelaburan mereka dari pasaran global pulang ke Malaysia dan diikuti oleh para pelabur runcit tempatan yang tertarik dengan peningkatan dan pemulihan bursa Malaysia yang berada di sekitar 1,500 mata setahun dulu kepada 1,600 mata sekarang.
“Prestasi baik syarikat-syarikat besar Malaysia yang melaporkan pertumbuhan baik, terutama perbankan, pembinaan turut mencetuskan minat pembelian saham masing-masing.
“Peningkatan itu juga selari dengan pemulihan ekonomi pasca Covid-19 seperti yang diperlihatkan oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang baik untuk tiga suku pertama 2024 berbanding tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selasa lalu, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar memberitahu, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang untuk 2024 dengan purata nilai dagangan harian meningkat sebanyak 65 peratus setakat ini, menjadikan purata hujung tahun sedikit melebihi RM3.1 bilion.
Beliau berkata, kapitalisasi pasaran keseluruhan juga telah melepasi paras RM2 trilion sejak bulan Mei, mengukuhkan lagi daya tahan bursa dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, kestabilan makroekonomi negara menjadi pemacu utama, dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada kadar 5.3 peratus bagi suku ketiga 2024 dan kadar inflasi stabil pada 1.9 peratus pada Oktober 2024.
“Selain itu, dasar kerajaan yang mesra pelaburan serta kecairan pasaran yang tinggi turut mendorong peningkatan minat pelabur institusi dan runcit.
“Faktor global juga memainkan peranan penting, termasuk ketidaktentuan ekonomi akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat dan Eropah, Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), serta perubahan dasar monetari oleh bank-bank pusat utama.
“Ketidaktentuan ini menyebabkan pelabur mencari peluang dalam pasaran yang lebih stabil seperti Malaysia,” katanya.
Melangkah ke 2025, beliau berkata, Bursa Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi memberangsangkan.
“Pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil, ditambah dengan pelaksanaan dasar seperti Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan Dasar Gaji Progresif (DGP), bakal menyokong momentum ini.
“Di peringkat global, kestabilan ekonomi di AS, China dan Eropah dijangka memberi sokongan kepada eksport Malaysia.
“Reformasi pasaran modal, termasuk pengenalan produk kewangan seperti sukuk hijau dan inisiatif sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dijangka merancakkan lagi aktiviti dagangan,” katanya.
Sumber – UTUSAN