KUALA LUMPUR, 10 Dis — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatutnya terlalu melulu ‘melantik dirinya’ untuk memimpin negeri-negeri tertentu jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Hashim Jasin yang merupakan Mursyidul Am PAS.
DIpetik melalui temuramah di Utusan Malaysia, beliau berkata perkara seperti itu patut ditentukan berdasarkan parti mana yang paling banyak memegang kerusi selepas keputusan pilihanraya diumumkan.
“Tunggu keputusan pilihan raya dahulu, lihat siapa paling banyak kerusi, dan ambil kira faktor seperti jentera dan aktiviti sebelum berunding (untuk menjadi Menteri Besar).
“Tidak perlu umumkan awal; fokus untuk menang dahulu,” katanya dipetik sebagai berkata.
Minggu lalu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu sidang media bahawa pihaknya menyasarkan untuk menawarkan calon menteri besar bagi Pahang, Perak dan Selangor, jika dimenangi PN pada PRU16.
Muhyiddin, yang juga pengerusi PN dari parti Bersatu, menjawab soalan mengenai peranan Bersatu dalam gabungan itu, memandangkan PAS menguasai pentadbiran Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta merupakan parti terbesar dari segi wakil rakyat dan juga jentera di dalam gabungan PN .
Kesemua MB dari empat negeri itu adalah dari PAS.
Hashim sebelum ini pernah berkata sepatutnya partinya harus mengetuai PN kerana mempunyai ahli parlimen paling ramai berbanding Bersatu di sebelah pasukan pembangkang.