GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memutuskan kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, yang didakwa mengaitkan veteran dan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Teresa Kok mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon, dalam keputusan penghakiman penuh mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat, dan pembelaan terhadap beliau berdasarkan alasan komen adil adalah tidak dapat diterima.
Justeru, mahkamah mengarahkan Siti Mastura membayar sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM240,000) dan Teresa Kok (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plantif sebagai kos.
Media sebelum ini melaporkan ketiga-tiga plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November tahun lalu.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Mereka mendakwa defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif, iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, dan menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara dalam ceramah itu.
Sumber : Berita Harian