KUALA LUMPUR: Ekonomi digital Malaysia dijangka mencapai AS$31 bilion (kira-kira RM138.43 bilion) dalam Nilai Dagangan Kasar (GMV) pada 2024, meningkat sebanyak 16 peratus berbanding 2023, menurut laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company.
Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, ekonomi digital Malaysia terus berkembang ke arah keuntungan sambil mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi GMV.
“Penyertaan digital yang lebih mendalam dalam kalangan pengguna, strategi penjanaan hasil yang berkesan, dan pemulihan sektor yang terjejas akibat pandemik dijangka memacu pertumbuhan berterusan.
“Selain itu, e-dagang pula kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital.
“Sektor ini meningkat sebanyak 17 peratus kepada AS$16 bilion (kira-kira RM71.44 bilion) GMV pada 2024, didorong oleh pelaburan semula platform e-dagang utama dalam pertumbuhan GMV serta peningkatan dalam perdagangan video,” katanya selepas Taklimat Media: Laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek, dan Bain & Company di sini, semalam.
Jelasnya, Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab utama dalam pelbagai sektor.
“Selain itu, penerimaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang, dengan negara ini berada dalam kelompok 10 tertinggi di dunia dari segi penggunaan AI.
“Kerjasama dengan kerajaan, terutamanya melalui sokongan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Begar, memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan ini.
“Malaysia kini memimpin pelaburan AI di Asia Tenggara, dengan 50 peratus pelaburan serantau tertumpu di sini. Sektor perjalanan juga mencatatkan pertumbuhan luar biasa, iaitu 90 peratus setiap tahun,” katanya.
Farhan berkata, pihaknya menyaksikan pertumbuhan pesat yang konsisten dalam ekonomi digital Malaysia, dan tahun ini sekali lagi membuktikan potensi besar sektor ini.
“Dengan tumpuan rantau ini terhadap AI, amat menggalakkan melihat pemimpin negara meletakkan AI dan semikonduktor sebagai keutamaan negara.
“Di Google, kami komited menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dengan mempercepatkan pembangunan tenaga kerja tempatan melalui kemahiran dan alat berasaskan AI.
“Dari melengkapkan belia dengan kemahiran masa depan melalui biasiswa Sijil Kerjaya Google hingga penerapan Google Workspace untuk penjawat awam, kami berdedikasi memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan era digital,” katanya.
Sumber – UTUSAN