Apabila tentera Zionis memulakan pembersihan etnik rakyat Palestin untuk menubuhkan negara Israel pada tahun 1948, nasib rakyat Palestin mengejutkan dunia Arab. Ia menimbulkan kemarahan negara-negara Arab yang berada di tengah-tengah perjuangan anti-penjajahan mereka sendiri dan mengangkat pembebasan Palestin kepada status perjuangan pan-Arab.
Tetapi apabila rejim Arab, sama ada negara Arab itu mengamalkan republik atau sistem beraja menjadi semakin mantap, makmur, maka tarikan dan kegunaan naratif perjuangan Palestin untuk pemimpin Arab perlahan-lahan pudar.
Pengabaian rakyat Palestin secara langsung berkaitan dengan sifat tidak demokratik rejim Arab dan pergantungan politik mereka yang berterusan kepada Amerika Syarikat, yang merupakan sekutu dan penyokong utama Israel serta projek pencerobohannya.
Sudah ada negara Arab berdamai dan menormalkan hubungan dengan Israel, satu-satunya negara penjajah yang wujud secara haram di dunia Arab, sambil menyalahkan perpecahan politik Palestin atas keadaan yang menyedihkan ini.
Penapisan autokratik akan pejuangan Palestin
Perjuangan Palestin sentiasa, dan sememangnya kekal, isu utama dalam imaginasi masyarakat Arab dan simbol pelaksanaan kebebasan bersuara. Rejim dahulu sukar untuk mengehadkan keinginan rakyat mereka untuk menyuarakan solidariti mereka dengan rakyat Palestin yang hidup sebagai warga kelas kedua di dalam Israel, di bawah pendudukan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dan dalam keadaan yang tidak bermaya di kem pelarian di seluruh rantau ini.
Tetapi dengan kerajaan Arab menjadi lebih autoritarian dan monarki, ruang untuk mengetengahkan perjuangan Palestin telah mengecil. Negara-negara Arab ini meningkatkan kawalan ke atas wacana awam, penapisan yang semakin ketat dan keganasan politik yang semakin meningkat telah menyebabkan perbezaan pendapat di seluruh dunia Arab berkenaan perjuangan Palestin.
Bukan sahaja seruan untuk perubahan demokratik dihalang di negara-negara Arab, tetapi ungkapan solidariti kepada rakyat Palestin juga disambut dengan penindasan kejam, ketika rejim-rejim negara Arab berusaha untuk mengawal naratif perjuangan Palestin.
Matlamat monopoli bagaimana perjuangan Palestin ditangani secara terbuka adalah untuk menutup fakta bahawa rejim Arab semakin meninggalkan membuat sebarang usaha politik yang penting untuk membantu rakyat Palestin. Sebaliknya, sokongan rasmi telah dihadkan kepada retorik yang menipu dan gerak isyarat simbolik untuk mengelakkan konfrontasi dengan Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat.
Walaupun ini telah memudaratkan perjuangan Palestin, ia telah membolehkan kerajaan Arab menumpukan tenaga mereka untuk kelangsungan hidup mereka sendiri di tengah-tengah pelbagai penyakit politik, ekonomi, dan sosial yang mereka hadapi.
Menyerahkan Palestin kepada AS
Pada tahun 1977, beberapa bulan sebelum lawatannya ke Israel, yang membuka jalan kepada perjanjian damai yang ditaja oleh AS antara Mesir dan Israel, Presiden Mesir Anwar Sadat menyindir bahawa Washington memegang “99 peratus kad” di Timur Tengah. Keruntuhan Kesatuan Soviet 14 tahun kemudian mengukuhkan bahawa realiti dan pergantungan Arab kepada ASterus berkembang sejak itu.
Berusaha mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar itu, rejim Arab membenarkan Washington – pembekal utama senjata dan sokongan ketenteraan Israel – untuk mengawal usaha damai di rantau itu. Ini tidak memberi ruang kepada pemimpin Arab untuk memberi kesan positif dalam membuat keputusan mengenai rakyat Palestin.
Perlahan tetapi pasti, hak rakyat Palestin diturunkan dari senarai keutamaan kerajaan Arab yang mana telah melihat AS sebagai penjamin utama kelangsungan politik mereka dan kepentingan ekonomi yang sempit.
Proses normalisasi antara beberapa negara Arab dan Israel yang dikawal oleh pentadbiran Trump hanyalah satu lagi ‘kebodohan’ dari pengabaian Arab secara beransur-ansur terhadap perjuangan Palestin. Ia memuncak dalam apa yang dipanggil Abraham Accords, yang walaupun semua janji “manfaat” untuk rakyat Palestin, tidak mempunyai nilai apa-apa bagi mereka atau aspirasi negara mereka.
Sebenarnya, normalisasi Arab dengan Israel hanya memberanikan lagi negara Zionis dalam penindasan terhadap rakyat Palestin dan membuka jalan untuk terus bermaharajalela di Tebing Barat yang diduduki.
Keganasan peneroka haram Zionis yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin, termasuk seruan terbuka oleh pegawai Israel untuk penghapusan etnik adalah gambaran betapa Israel diberi kuasa dan yakin bahawa mereka boleh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dengan sewenang-wenangnya.
Yang paling banyak dilakukan oleh kerajaan Arab sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ialah mengeluarkan kutukan dan bantahan yang sia-sia. Itu sahaja. Retorik.
Alasan perpecahan Palestin
Sejak 2007, apabila Hamas mengambil alih kerajaan di Semenanjung Gaza daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikawal oleh Fatah, Palestin tidak mempunyai kepimpinan politik yang bersatu-padu. Lebih buruk lagi, PA, yang merupakan badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang mentadbir wilayah Palestin yang diduduki, telah kehilangan hampir semua legitimasinya di mata penduduk Palestin.
Perpecahan politik Palestin bukan sahaja memihak kepada Israel tetapi juga menjadi alasan yang sesuai untuk rejim Arab untuk tidak memajukan perjuangan Palestin. Secara sinis mereka beralasan bahawa jika rakyat Palestin – yang selama ini menuntut untuk bebas dalam menentukan hal ehwal mereka sendiri – tidak mempunyai pendirian yang bersatu, mengapa dan bagaimana dunia Arab boleh bekerja bagi pihak mereka?
Pada masa yang sama, kebanyakan rejim Arab telah melepaskan kesalahan mereka di atas bahu PA, yang telah menjadi lanjutan daripada perintah politik Arab yang autoritarian. Negara-negara Arab enggan bertanggungjawab kepada rakyat Palestin dan pada masa yang sama hampir tidak melakukan apa-apa untuk memperjuangkan hak asasi dan kemerdekaan rakyat Palestin.
Dengan menyalahkan perpecahan Palestin dan berpura-pura menyokong rakyat Palestin melalui PA, rejim Arab pada dasarnya telah melepaskan tanggungjawab mereka sesama bangsa.
Ditinggalkan oleh pemimpin Arab, rakyat Palestin mendapati diri mereka tidak mempunyai sekutu yang jelas dalam perjuangan mereka menentang pendudukan yang semakin kejam dan apartheid. “Proses damai” yang diusahakan oleh AS jelas satu sandiwara dan institusi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak berperanan dan terlalu lemah – atau lebih tepatnya dilemahkan dengan sengaja oleh AS – untuk mengambil sebarang tindakan yang bermakna bagi pihak mereka.
Namun, status quo pencerobohan Palestin, kehidupan di bawah pendudukan kejam, dan apartheid Israel terhadap orang Arab Palestin terus berlaku. Sekaligus isu Palestin terus menjadi luka terbuka dunia Arab.
Hari ini, nampaknya hanya rakyat Palestin yang boleh memimpin perjuangan mereka sendiri untuk pembebasan – satu yang berdasarkan projek nasional yang merangkumi semua sektor masyarakat Palestin di dalam Palestin dan diaspora Palestine di seluruh dunia yang berdasarkan idea inklusi, pluralisme, dan demokrasi.
Institusi nasional Palestin yang telah dikukuhkan mesti diperbaharui melalui proses demokrasi terbuka, termasuk pemilihan kepimpinan baharu yang boleh mengambil alih daripada elit lama dan tidak berfungsi. Masyarakat sivil Palestin, institusi pendidikan dan sosial, pergerakan belia, dan organisasi lain juga mesti terlibat dalam membangunkan projek nasional ini.
Bagi dunia politik negara-negara Arab lain, mereka telah menunjukkan untuk tidak boleh dipercayai, selagi negara-negara Arab itu mengamalkan autoritarian dan bergantung kepada kuasa yang menyokong Israel serta menyokong dasar-dasarnya, selagi itu Palestin akan terus tidak dibela oleh mereka Sesungguhnya, dunia Arab mungkin suatu hari nanti mampu memainkan peranan positif dalam membantu rakyat Palestin; tetapi itu hanya akan berlaku selepas mereka berubah kepada semua pendemokrasian dan pembaharuan di negara mereka sendiri.
Imad K Harb
Imad K Harb ialah Pengarah Penyelidikan dan Analisis di Arab Center Washington DC.
Al-Jazeera