KUALA LUMPUR, 21 Nov — PAS menegaskan tidak akan (belum) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri dari Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Hashim Jasin, dan pada masa yang sama menyuarakan parti Islam itu kini mesti mengetuai gabungan tersebut.
Mursyidul Am PAS itu berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berada dalam kedudukan (yang kuat) untuk mengambil ‘hak’ itu, sambil menambah bahawa pandangan PAS tidak boleh diambil mudah kerana mereka memiliki jumlah ahli parlimen yang ramai melebihi Bersatu.
Dipetik daripada temuramah dengan akhbar arus perdana, Utusan Malaysia, hari ini, Hashim mencadangkan PAS bahawa sudah tiba masanya mereka mengetuai PN. PAS tidak mahu selamanya menjadi nombor dua, kerana mereka yang sebenarnya mempunyai kekuatan di dalam PN.
“Mengambil kira kelayakan kepimpinan, saya percaya PAS lebih sesuai untuk memimpin, memandangkan bilangan kerusi (parlimen) kita yang lebih besar dan jentera seluruh negara yang lebih kukuh,” Hashim dipetik sebagai berkata.
“Walaupun PAS hanya memegang jawatan timbalan dalam Perikatan Nasional, rekod prestasi kami di Parlimen adalah lebih baik, di samping kerja kemasyarakatan dan usaha lain,” katanya.
Hashim dilihat membalas komen Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini berkata PN akan mengekalkan Muhyiddin sebagai calonnya untuk menjadi PM pada pilihan raya umum ke-16.
(Muhyiddin Yassin dan Ahmad Faizal)
Ahmad Faizal juga menolak sebarang kemungkinan lain (daripada parti gabungan PN lain) sebagai calon PM. Beliau juga menegaskan Muhyiddin adalah “pilihan yang tidak boleh dipertikaikan” untuk pilihan raya ke 16 kelak, dijangka pada 2027.
Hashim menolak tanggapan itu. Sebaliknya, beliau berkata keputusan penting itu mesti dipertimbangkan dengan teliti kerana ia (Muhyiddin sebagai calon PM) boleh menjejaskan peluang gabungan itu memenangi PRU16.
Penganalisis politik berpendapat bahawa gabungan PN masih bertahan kerana Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang masih lagi mempunyai ‘sentimen’ balas jasa kepada Muhyiddin yang mempelawa parti Islam itu menjadi kerajaan persekutuan buat pertama kali selepas Langkah Sheraton 24 Februari 2020 lalu.
PAS kini menguasai 49 daripada 74 kerusi parlimen di bawah gabungan PN, dengan Bersatu hanya 25 kerusi. Parti PN yang lain yang mewakili kaum bukan Melayu seperti Gerakan dan MIPP, tidak mempunyai wakil.
PAS juga kukuh mengawal semua DUN negeri di bawah pentadbiran PN. Bersatu tidak mempunyai negeri di bawah pemerintahan mereka selepas kejatuhan kerajaan Johor dari pentadbiran mereka semasa PRN Johor pada 2022.
Dalam pilihan raya umum sebelumnya, terdapat pecahan yang ketara di dalam parti politik semenanjung, menjadikan PAS satu-satunya parti Melayu mendapat kemenangan terbanyak kerusi parlimen dan DUN. Untuk sokongan bukan Melayu, DAP mendominasi kekuatan tersebut. PRU16 dilihat akan hanya punyai dua pertembungan iaitu gabungan kerajaan perpaduan PH-BN dan PN sahaja. Sudah tentu ia akan memberi cabaran kepada PN kerana mereka tidak mempunyai sokongan bukan Melayu yang baik, serta orang Melayu akan terbahagi kepada beberapa parti lain.