KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, mungkin bersembunyi di Myanmar di bawah perlindungan para jeneral tentera negara bergolak itu, kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Dipetik daripada Sinar Daily, peguam bela bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata khabar angin mengenai keberadaan Jho Low pada mulanya mungkin berada di Dubai, China atau Macau.
Bagaimanapun, semasa perbicaraan kes Datuk Seri Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Shafee berkata keterangan saksi utama pendakwaan 1MDB, Jasmine Loo telah menunjukkan seolah-olah Jho Lo berada di Myanmar.
“Daripada keterangan yang saya dapati daripada Jasmine Loo, saya rasa dia berada di Myanmar, dilindungi oleh jeneral,” katanya semasa Media Townhall: Mendapatkan Fakta yang Betul – Kisah Yang Tidak Terungkap 1MDB & Kes Lain, semalam, Selasa (19 Nov), di Kuala Lumpur.
Shafee berkata, menurut keterangan Jasmine Loo, Jho Low telah mendapatkan pasport Myanmar palsu untuk membantunya memasuki negara yang dilanda perang itu.
Shafee bercakap kepada orang ramai selepas ditanya mengenai lokasi Jho Low dan mengapa sukar untuk mengesannya.
Ahli panel lain semasa forum awam itu yang dikendalikan oleh Kamarudin Ahmad ialah bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan peguam Adzly Abdul Manas.
Najib menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3bil daripada 1MDB dan 21 lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.