spot_img
spot_img

61 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan kecemasan

spot_img

KUCHING, 17 Nov — Pengetahuan kewangan rakyat Malaysia telah meningkat dengan ketara sejak 2016 dan semakin menghampiri tahap negara maju, namun masih terdapat tiga cabaran yang menghalang kemajuan selanjutnya ke arah menjadi masyarakat yang celik kewangan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata peningkatan tahap pengetahuan ini dicerminkan dalam keputusan tinjauan kewangan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) tahun lepas.

“Berdasarkan kajian OECD untuk 2023, tahap celik kewangan rakyat Malaysia telah meningkat dengan ketara, melepasi purata global dan menghampiri tahap negara maju lain.

- Advertisement -

“Ini satu perkembangan yang memberangsangkan. Bagaimanapun, kami tetap mengambil kira faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku kewangan, yang turut memberi cabaran,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan Karnival Celik Kewangan Sarawak dan Bulan Celik Kewangan 2024 di sini, hari ini.

Adnan Zaylani berkata Tinjauan Keupayaan Kewangan dan Rangkuman yang dijalankan BNM baru-baru ini mengenal pasti tiga cabaran kewangan utama yang masih dihadapi oleh rakyat Malaysia: pengurusan kewangan yang lemah, tabiat menyimpan dan celik kewangan digital.

Beliau berkata pengurusan kewangan yang lemah masih menjadi isu yang membimbangkan, dengan tinjauan itu mendedahkan bahawa satu daripada empat rakyat Malaysia merasakan hutang mereka membebankan, manakala akses meluas kepada perkhidmatan kewangan seperti mempunyai akaun deposit tidak diterjemahkan kepada tabiat dan penggunaan simpanan yang bermakna.

- Advertisement -

“Menurut kaji selidik yang sama, 61 peratus rakyat Malaysia akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa tahap rendah celik kewangan digital diserlahkan oleh tinjauan itu, dengan 15 peratus penduduk, kebanyakannya remaja, berkongsi kata laluan perbankan mereka. Amalan ini mendedahkan mereka kepada peningkatan kadar penipuan dalam talian dan digunakan sebagai keldai wang.

“Hasilnya, penekanan yang besar telah diberikan untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan maklumat serta perkhidmatan sokongan berhubung tiga isu ini sepanjang karnival ini,” tambahnya.

Menerusi karnival selama tiga hari ini, beliau berharap pengunjung dapat memanfaatkan pengetahuan yang ada untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh dan stabil untuk diri mereka, keluarga dan komuniti mereka.

Karnival Celik Kewangan Sarawak adalah kemuncak program anjuran Skuad Celik Kewangan melibatkan institusi dan agensi kewangan, sempena Bulan Celik Kewangan, yang telah diadakan sepanjang Oktober dan November di 90 lokasi seluruh negara.

 

Sumber — Bernama

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img