PETALING JAYA: Pelancaran kilang Proton di Mesir membuka jalan bagi peluasan strategik dalam sektor automotif di Afrika Utara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut hantarannya di platform X, Proton membawa visi menjadikan Mesir sebagai hab eksport ke pasaran Afrika Utara dengan sasaran pengeluaran 5,000 unit Proton Saga pada tahun 2025 dan hingga 25,000 unit menjelang 2026.
“Inisiatif ini yang melibatkan pelaburan AS$35 juta (RM155.67 juta) juga menyokong dasar ekonomi Mesir untuk menggalakkan pemasangan tempatan sambil mengurangkan kenderaan import sepenuhnya (CBU).
“MITI optimis bahawa pelaburan ini akan memperkukuhkan ekosistem ekonomi Mesir dan mengukuhkan kedudukan Proton sebagai jenama automotif Malaysia yang terus berkembang di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau antara delegasi yang terlibat dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir bagi mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir.
Dalam hantaran terdahulu, beliau memberitahu, pertemuan produktif bersama Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar Negeri Mesir, Hassan El-Khatib membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Mesir.
“Kami membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri halal, minyak sawit, automotif, infrastruktur serta semikonduktor iaitu sektor penting yang berpotensi memacu pertumbuhan teknologi di kedua-dua negara.
“Kami juga bersetuju untuk menghidupkan kembali Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan (JTIC) bagi memperkasakan hubungan perdagangan dan pelaburan secara strategik.
“Usaha ini akan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan Mesir sebagai gerbang ke Asia Barat dan Afrika Utara, dengan manfaat bersama untuk ekonomi rakyat kita,” ujarnya.
Sumber – UTUSAN