𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀
𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐔 𝐃𝐄𝐃𝐀𝐇𝐊𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐃𝐄𝐑 𝐑𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐈𝐀𝐍 𝟓𝐆 𝐊𝐄𝐃𝐔𝐀 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐃𝐈𝐁𝐄𝐑𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐔-𝐌𝐎𝐁𝐈𝐋𝐄 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐀𝐊𝐒𝐄𝐒 𝐔𝐌𝐔𝐌
1. Menteri Komunikasi tidak menjawab sepenuhnya soalan-soalan yang saya kemukakan dalam Dewan Rakyat pagi tadi mengenai pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.
2. Saya bertanya kenapa spesifikasi pemilihan pengendali rangkaian 5G kedua tidak didedahkan kepada umum lantas menyebabkan proses pemilihan menjadi tidak telus. Menteri Komunikasi hanya menjawab secara umum tetapi tiada penjelasan mengenai kenapa ada kerahsiaan dalam proses yang sepatutnya terbuka dan telus. Perkara ini penting kerana ketidaktelusan inilah yang menyebabkan wujud pelbagai spekulasi, sehingga ada yang membimbangkan kerana menyentuh kemuliaan institusi Yang Di-Pertuan Agong. Sekiranya kerajaan berpegang dengan prinsip ketelusan dari awal, semua fitnah ini, terutama yang menjurus kepada institusi Yang Di-Pertuan Agong, akan dapat dielakkan.
3. Saya juga bertanya mengenai pengumuman oleh U Mobile bahawa mereka akan mengurangkan pegangan asing saham mereka ke 20 peratus. Hampir separuh saham U Mobile dipegang oleh pemilik berpusat di Singapura. Apabila U Mobile dilantik sebagai pengendali 5G kedua negara, nilai saham mereka sudah pasti melonjak berkali ganda. Maksudnya, “divestment” yang akan dibuat untuk menurunkan pegangan asing ke 20 peratus akan membolehkan golongan mahakaya Singapura mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana nilai saham yang mereka akan jual sudah pasti jauh lebih tinggi berbanding harga pelaburan asal mereka. U Mobile juga dijangka menjalankan IPO pada 2025. Nilai pegangan dan harga saham mereka pasti melambung kerana mereka memegang rangkaian 5G kedua Malaysia. Siapa yang untung? Bukankah ini bukti bahawa retorik memerangi mahakaya hanyalah propaganda populis sedangkan tindakan kerajaan dalam hal ini bukan saja memperkaya mahakaya, tetapi memperkaya mahakaya asing di Singapura?
4. Saya turut menyebut bahawa kita ada sebuah GLC yang namanya DNB. Sebagai GLC, DNB ini adalah milik rakyat. Tetapi U Mobile yang kini menjadi pesaing DNB masih ada wakil dalam Lembaga Pengarah DNB. Sebagai Pengarah, jika individu ini ada akses kepada maklumat-maklumat sensitif mengenai hal ehwal dalaman dan strategi DNB, sudah pasti syarikat swasta U Mobile akan mempunyai senjata untuk bersaing dan mengalahkan DNB. Tapi DNB tidak ada akses kepada strategi dalaman U Mobile, menjadikan padang tidak sama rata. Kenapa kerajaan memberi kelebihan kepada pesaing yang majoriti dimiliki oleh Singapura, sedangkan syarikat GLC milik rakyat Malaysia iaitu DNB dipaksa bersaing atas padang yang tidak sama rata? Kenapa wakil U Mobile dalam DNB tidak diarah meletak jawatan serta merta?
5. Selain daripada tiga perkara di atas yang saya timbulkan pagi tadi, saya juga mahu tahu adakah syarikat Singapura Straits Mobile Investments Pte Ltd yang merupakan pemegang saham terbesar (single largest shareholder) dalam U Mobile, atau pemilik Straits Mobile itu sendiri, ada kaitan dengan mana-mana syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura, seperti contohnya Temasek? Dan mengapa dua pengendali gergasi telekomunikasi negara, CelcomDigi dan Maxis, tidak dipilih apabila walhal mereka mempunyai kekuatan kewangan, liputan, infrastruktur dan pelanggan yang lebih tinggi? Ini semua menimbulkan persoalan yang belum terjawab.
6. Saya menuntut agar kriteria pemilihan pengendali rangkaian kedua ini didedahkan kepada umum sepenuhnya dan dikongsi dengan semua Ahli-Ahli Dewan rakyat.
7. Saya juga menuntut kerajaan memberi penjelasan penuh sekiranya akan ada lagi aset atau industri strategik tempatan akan dibuka kepada pemilikan asing. Sebelum ini sudah ada isu Blackrock. Sekarang kita berhadapan dengan spektrum 5G pula. Apa lagi selepas ini?
𝐘𝐁 𝐃𝐀𝐓𝐔𝐊 𝐖𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐈𝐅𝐔𝐋 𝐖𝐀𝐍 𝐉𝐀𝐍
𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐨𝐫𝐭𝐟𝐨𝐥𝐢𝐨 𝐊𝐨𝐦𝐮𝐧𝐢𝐤𝐚𝐬𝐢 𝐀𝐡𝐥𝐢-𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 𝐏𝐍
𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 𝐓𝐚𝐬𝐞𝐤 𝐆𝐞𝐥𝐮𝐠𝐨𝐫
𝟕 𝐍𝐨𝐯𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟒