Dalam pilihan raya presiden tahun 1980, Presiden Ronald Reagan terkenal dengan soalan, “Adakah anda lebih baik sekarang daripada empat tahun lalu?”
Semalam (waktu Malaysia), rakyat Amerika Syarikat (AS) menjawab soalan itu dalam pilihan raya 2024 dengan menyerahkan kembali Rumah Putih kepada Donald J. Trump sekali lagi.
Rakyat AS kini sedang menghadapi harga makanan yang lebih tinggi, kos perumahan yang lebih tinggi, dan perasaan bahawa ekonomi tidak baik untuk mereka, maka para pengundi AS kembali menyokong Trump dari Republikan, bukannya Vice President Kamala Harris dari parti Demokrat, yang kini mentadbir kerajaan AS di bersama bosnya Presiden Joe Biden.
Strategi menyentuh isu ekonomi, sara hidup, inflasi dan kehidupan asas sangat berjaya membantu Trump dalam memperoleh kemenangan kali ini. Donald Trump tewas pada pilihanraya Presiden tahun 2020 bagi mengekalkan jawatannya pada penggal ke dua.
Ditambah dengan sokongan dari Robert F. Kennedy Jr. kepada Trump, di mana keluarga Presiden Kennedy itu yang sudah terkenal dengan perjuangan tentang kesihatan dan farmaseutikal – yang biasanya bukan pilihan isu Republikan, sudah tentu membantu menarik ramai rakyat AS untuk mengundi Trump. Disamping itu juga, pasukan Trump mendapat sokongan Tulsi Gabbard, bekas calon presiden Demokrat, yang menjalankan kempen untuk mendekati pengundi-pengundi Demokrat, pengundi atas pagar dan para wanita yang masih 50/50 terhadap calon Demokrat Kamala Harris, merupakan satu tindakan yang bijak dari kem Trump.
Demokrat mengetengahkan isu seperti pengguguran akan diharamkan jika Trump berkuasa yang mana dilihat menyekat kebebasan hak kaum wanita atau naratif Trump akan menjadi diktator, menjadi ancaman kepada demokrasi AS, dan pelbagai serangan peribadi terhadap Trump termasuk pendakwaan jenayah di mahkamah, juga tidak mampu meyakinkan rakyat AS untuk mengundi Kamala Harris.
Mengenai ekonomi, Demokrat bukan sahaja cuba menjenamakan rancangan mereka, namun kesilapan Harris yang memuji Bidenomics (gelaran kepada ekonomi era Joe Biden kini – yang dirasakan gagal oleh majoriti rakyat AS) sambil cuba memberitahu pengundi Demokrat bahawa Harris bersama rakyat AS merasakan kepayahan ekonomi dan akan membawa perubahan. Itu jelas tidak mampu memberikan kemenangan kepada Harris.
Kamala Harris juga cuba meyakinkan pengundi bahawa ekonomi sedang berjalan dengan baik dengan memetik kajian atau laporan daripada badan antarabangsa yang jauh atau badan pemikir akademik — namun pengundi tidak ‘termakan’ dengan kata-kata itu kerana mereka merasakan sebaliknya berkenaan ekonomi domestik.
Pengundian kali ini nampaknya diterjemahkan berdasarkan pengalaman sebelum ini, di mana para pengundi merasakan mereka berasa lebih baik di bawah Presiden Donald Trump seperti semasa pentadbiran penggal pertama Trump yang lalu (2016-2020) – walaupun pengkritiknya berkata di waktu itu Trump bernasib baik kerana mewarisi ekonomi stabil yang diwarisi dari pentadbiran Presiden Barrack Obama.
Seorang pengundi yang bernama Anne yang tinggal di pinggir bandar Phoenix berkata walaupun dia mempunyai kebimbangan terhadap Trump dan tawaran daripada parti Demokrat mengenai Projek 2025 juga meyakinkan dia, namun akhirnya Anne mengundi berdasarkan apa yang dirasakan terbaik untuk keluarganya dari segi ekonomi. Di Maricopa County, harga rumah kini telah melonjak 47% dalam tempoh empat tahun, perbelanjaan di kedai runcit jauh lebih mahal daripada empat tahun lalu, Anne tidak merasakan bahawa Joe Biden, dan kini Kamala Harris, akan mampu melaksanakannya lagi untuk keluarganya.
Trump telah memenangi Maricopa County dan Arizona pada 2016, Joe Biden mengubahnya menjadi milik Demokrat pada 2020 dan semalam, pengundi di Maricopa menjadikan Arizona milik Republikan sekali lagi.
Terdapat banyak rakyat AS seperti Anne ini, bukan sahaja di Arizona tetapi di Georgia, di Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin yang digelar sebagai swing state (negeri yang bertukar-tukar sokongan). Serangan peribadi terhadap Trump seperti dia sama seperti Nazi, tidak berjaya menakutkan majoriti pengundi AS untuk mengundi Trump. Peningkatan ketara pengundi latino walaupun Trump dikatakan menghina kaum pendatang, golongan Arab AS juga memberikan undi kepada Trump – akibat kegagalan pentadbiran Joe Biden – Kamala Harris dalam menangani isu Gaza, tetapi akhirnya rakya AS hanya mahu menjawab soalan asas – iaitu “adakah anda lebih baik daripada anda empat tahun lalu ?”. Ini sudah pasti kemunculan semula politik terbesar dalam sejarah AS. Parti Republikan kini mempunyai majoriti mudah di Kongress untuk meluluskan sebarang pindaan undang-undang baru tanpa perlukan sokongan parti Demokrat.
Pastinya juga segala pertuduhan kes jenayah terhadap Presiden ke 47 itu akan tertangguh kerana Presiden AS mempunyai imuniti terhadap jenayah undang-undang.