KUCHING, 31 Okt — Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, memperuntukkan kira-kira RM40 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk perbelanjaan modal (capex – capital expenditure), menurut pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo.
Tambahnya, syarikat itu mencatatkan jumlah pendapatan RM4 bilion tahun lalu dan angka ini diunjurkan berkembang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Petros kini mengambil bahagian dalam 19 kontrak perkongsian pengeluaran dengan kerjasama pemain minyak utama dari beberapa negara. Diramalkan ini juga akan berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-7 Petros di sini malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hamid berkata sejak pelancarannya pada 7 Ogos 2017, Petros telah berkembang sebagai pemain bersepadu, mengambil bahagian secara aktif di seluruh rantaian nilai minyak dan gas, memperkemas usaha untuk menggerakkan pembangunan ekonomi sosial di Sarawak.
Beliau berkata di bawah peta jalan gas mereka, Petros sedang membangunkan empat hab strategik di Kuching, Miri, Bintulu dan Similaju, dengan potensi pelaburan sebanyak RM100 bilion dalam beberapa tahun akan datang, dan bersama-sama Petronas, menjadi pengedar tunggal gas petroleum cecair di Sarawak.
“Kami juga membelanjakan RM4.7 juta pada 2023 untuk inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat kami dan kira-kira jumlah yang sama pada 2024, sebahagian besarnya untuk pendidikan dan kesihatan,” tambahnya.
Sumber — Bernama