KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti isu tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam termasuk isu berkenaan syif doktor yang didakwa diarah bekerja on-call hingga melebihi 30 jam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad percaya isu doktor bekerja lebih masa itu tidak belaku secara meluas di semua hospital awam.
Bagaimanapun, menurut beliau, KKM akan mengenal pasti kekurangan yang wujud dalam sistem tenaga kerja pegawai perubatan itu.
“Kementerian kini giat meneliti semua permintaan bekalan penggunaan tenaga kerja dan dalam rangka kerja tersebut, kami akan dapat menangani isu tertentu seperti itu.
“Masalah berkenaan tidak berlaku di semua tempat, sebab itu kementerian perlu memahami jurangnya dan memahami di mana kekurangannya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Bencana Bersempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat KKM Tahun 2024 di sini, semalam.
Terdahulu, sekumpulan doktor menggesa KKM mengurangkan syif di luar waktu pejabat kerana tempoh bekerja yang dilakukan oleh golongan tersebut disifatkan seperti tidak berperikemanusiaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, waktu syif atas panggilan itu perlu berperikemanusiaan walaupun ia bergantung kepada bilangan doktor yang ada di sesebuah jabatan.
Jelasnya, tempoh kerja yang melampau itu menyebabkan kemerosotan terhadap kualiti penjagaan pesakit dan sepatutnya jika seorang doktor sudah berkhidmat sehingga 24 jam maka perlu diberi rehat pada keesokannya.