KLANG: Kerajaan negeri Selangor digesa menyediakan peruntukan khas bagi mengatasi masalah banjir kilat yang didakwa kerap melanda sembilan buah kampung di Kota Raja di sini, sejak 10 tahun lalu.
Hal demikian ini kerana masalah banjir kilat di kawasan tersebut dikatakan bukan hanya berlaku pada musim tengkujuh atau air laut pasang, sebaliknya setiap kali hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, alasan Monsun Timur Laut (MTL) serta air pasang tidak lagi wajar menjadi ‘penyendal’ kepada isu banjir kilat di kawasan tersebut.
Menurutnya, pelbagai aduan sudah pun dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta jabatan-jabatan berkaitan termasuk menyuarakannya di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun lebih setahun berlalu, situasi sama kerap berlaku sehingga hari ini.
“Tiada penambahbaikan langsung, malah lebih teruk. Jadi, alasan untuk kata banjir kerana monsun (MTL) tak boleh pakai. Sebab pada Februari atau tengah tahun pun, kalau hujan dalam sejam pun banjir.
“Tetapi kita tak dapat respons daripada pihak berwajib,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Malah, beliau juga menegaskan faktor kewangan atau bajet tidak boleh dijadikan alasan kegagalan menyelesaikan masalah banjir kilat kerana bencana itu bukan baru melanda kawasan berkenaan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kewujudan longkang atau saliran air tidak ‘bertuan’ sepanjang 600 kilometer (km) dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di Selangor.
Kesemua longkang itu dibina pihak tertentu sama ada melibatkan kawasan perumahan, tepi jalan, kampung atau kilang.
Malah, beliau juga dilapor mendedahkan terdapat sembilan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor dikenal pasti sebagai projek sakit yang merupakan sebahagian daripada 41 projek dengan peruntukan keseluruhan RM482 juta.